Rejim Zionis perhebat 'kempen bunuh' penduduk Palestin

Asap tebal menyelubungi kawasan utara Genting Gaza selepas dibedil Israel pada pagi Isnin. - Foto: AFP
Asap tebal menyelubungi kawasan utara Genting Gaza selepas dibedil Israel pada pagi Isnin. - Foto: AFP
A
A
A

GENTING GAZA - Sekurang-kurangnya 70 penduduk Palestin menjadi korban terbaharu 'kempen membunuh' yang diperhebatkan rejim Zionis pada awal pagi Isnin.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan kira-kira 320 sasaran di Genting Gaza dibedil dalam tempoh 24 jam.

"Serangan udara IDF semakin menggila. Ia terus membedil kawasan penempatan secara membabi buta," ujar pejabat media Hamas dalam satu kenyataan.

Sementara itu, IDF sekali lagi memberi alasan lapuk kononnya mereka menyasarkan terowong rahsia, pusat perintah operasi dan pos pemerhati milik pejuang Palestin.

Operasi serangan yang semakin rancak sejak lebih dua minggu lalu telah mengorbankan lebih 4,650 penduduk Palestin, secara purata antara 200 dan 300 orang terkorban di wilayah itu pada setiap hari.

Dalam perkembangan berkaitan, gerakan penentangan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semakin meningkat ketika kempen pengeboman lebih ganas dilancarkan ke atas Genting Gaza pada akhir minggu lalu.

Pada Ahad, ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Tel Aviv untuk membantah dasar kerajaan selain sejumlah tokoh kanan turut menuntut pengunduran pemimpin Parti Likud tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Ehud Barak dalam satu kenyataan menyifatkan Operasi Taufan al-Aqsa dilancarkan pejuang Hamas sebagai 'tamparan maut' dalam sejarah sejak 75 tahun penubuhan negara haram Israel.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya penduduk tidak lagi yakin dengan kepimpinan Netanyahu. Beliau hanya menyebabkan konflik menjadi lebih teruk," ujar Barak menerusi wawancara bersama akhbar Guardian.

Tokoh lain yang senada dengannya termasuk bekas Ketua Turus, Leftenan Jeneral, Dan Halutz dan bekas pegawai risikan, Avi Melamed yang berpendapat sudah tiba masanya Netanyahu meletak jawatan setelah memegang kuasa selama lebih 16 tahun.

Kaji selidik terbaharu juga menunjukkan 56 peratus penduduk Israel mahu pemimpin tersebut melepaskan jawatannya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!