Suami didakwa tumbuk mata isteri
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menumbuk mata isterinya pada 30 Ogos lalu.
Tertuduh, Mohd Fadlie Abdul Rahman, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Abdul Hayyi Salim.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menumbuk mata kiri isterinya yang berusia 36 tahun itu.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kuala Ibai di sini 30 Ogos lalu pada jam 5.45 petang.
Dengan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326A akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebaik pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Abdul Hayyi kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 8 Februari depan untuk serahan dokumen bagi lantikan peguam.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,600 dengan seorang penjamin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!