Kerajaan digesa lakukan pembaharuan polisi dadah
SHAH ALAM - Kerajaan digesa melakukan pembaharuan polisi dadah yang berteraskan sains, hak asasi manusia dan dekriminalisasi dadah untuk kegunaan peribadi serta pemilikan.
Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, bagi mencapai objektif tersebut, kerajaan perlu bekerjasama dengan ahli akademik, masyarakat sivil dan sekretariat Program Dasar Dadah bagi menggubal dasar polisi dadah yang progresif, berasaskan bukti serta berperikemanusiaan.
“Berbalik kepada Belanjawan Negara dan perkara nombor 208, yang memfokuskan pada peluang kedua, kami berharap kerajaan kekal dengan konsep Madani dengan memperkasakan masyarakat untuk memahami penggunaan dadah dan mengurus penyalahgunaan dadah sewajarnya.
“Pemenjaraan bukanlah penyelesaian, begitu juga dengan rawatan dadah mandatori seperti pusat serenti.
“Kita mesti memulakan analisis yang lebih mendalam mengenai dadah, penggunaan dan rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada 13 Oktober, Belanjawan 2024 Ekonomi Madani memberi tumpuan kepada memperkasakan rakyat dan memajukan pertumbuhan negara dengan memperuntukkan RM393.8 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi memberi peluang kedua buat penagih dadah mendapatkan rawatan untuk pulih daripada penagihan tanpa dimasukkan ke dalam penjara.
Dalam pada itu, ujar Dr Adeeba, kerajaan juga perlu memperluaskan program rawatan yang komprehensif di bawah naungan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pekerja swasta dengan kerjasama pertubuhan masyarakat sivil seperti Persatuan Pengasih Malaysia serta Komuniti Cakna Terengganu, yang menawarkan rawatan berasaskan komuniti.
“Organisasi berkenaan telah menunjukkan kejayaan dalam menggalakkan mereka yang memerlukan bantuan untuk tampil ke hadapan secara sukarela.
“Mereka turut menyediakan persekitaran komuniti yang saling membantu, di mana lebih bermanfaat dari segi rawatan ketagihan berbanding pemulihan mandatori atau penjara,” ujarnya.
Menurutnya, bukti tempatan menunjukkan bahawa rawatan ketagihan opoid secara komuniti dengan pelaksanaan kaedah terapi agonis atau methadone memperlihatkan 80 peratus kurang risiko ketagihan berbanding program pemulihan mandatori.
“Sudah tiba masanya untuk bergerak jauh daripada ujian air kencing dadah mandatori yang mahal dan tidak berkesan, penangkapan dan penahanan.
“Program pemulihan yang diinstitusikan secara paksa harus digantikan dengan pilihan rawatan berasaskan bukti dalam komuniti.
“Melaksanakan program pentadbiran sivil dalam sistem kesihatan awam akan mengurangkan jenayah dan menghapuskan stigma yang dikaitkan dengan individu yang mengambil dadah,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!