Kes denggi di Johor meningkat

Kes denggi di Johor mencatatkan peningkatan 206 peratus kes pada tahun ini. - Gambar hiasan
Kes denggi di Johor mencatatkan peningkatan 206 peratus kes pada tahun ini. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kes denggi di negeri ini mencatatkan peningkatan apabila sebanyak 8,442 kes dengan tiga kematian dilaporkan pada minggu Epid ke-42 tahun ini.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, secara kumulatif, kes denggi mencatatkan peningkatan 206 peratus kes berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan 2,755 kes.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 3,432 kes atau 40.7 peratus dilaporkan dari lokaliti wabak dan 5,010 kes (59.3 peratus) dari lokaliti bukan wabak.

“Pada Minggu Epid 42, sebanyak 209 kes demam denggi telah dilaporkan dan bilangan ini menurun sebanyak 12.6 peratus berbanding dengan minggu sebelumnya apabila merekodkan sebanyak 239 kes bagi pada minggu Epid 41 lalu.

“Daripada jumlah kes denggi yang dilaporkan sepanjang Minggu Epid 41, sebanyak 65 kes (31.1 peratus) dilaporkan dari lokaliti wabak dan 144 kes (68.9 peratus) dari lokaliti bukan wabak,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Tian Soon, daerah Johor Bahru merekodkan jumlah kes tertinggi dengan mencatatkan sebanyak 160 kes atau 76.6 peratus daripada jumlah keseluruhan diikuti daerah Kulai (15 kes, 7.2 peratus), Kota Tinggi (8 kes, 3.8 peratus) manakala Batu Pahat, Kluang dan Segamat (enam kes, 2.9 peratus), Pontian (empat kes, 1.9 peratus), Tangkak (dua kes, 1.0 peratus), sementara Muar dan Mersing masing-masing satu kes, 0.5 peratus).

Katanya, berdasarkan rekod tersebut, didapati daerah yang melaporkan peningkatan kes pada minggu Epid 42 adalah Segamat, Kota Tinggi dan Mersing.

“Secara keseluruhannya, jumlah terkumpul lokaliti wabak di negeri Johor pada 2023 sehingga Minggu Epid 42 adalah 1091 berbanding 315 dalam tempoh yang sama pada 2022.

Artikel Berkaitan:

“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 246 peratus dengan tiga kematian. Secara kumulatif, kes kematian denggi sehingga Minggu Epid 42 adalah sebanyak 18 kes berbanding hanya satu kes pada tempoh sama 2022 lalu,” katanya.

Sementara itu Tian Soon berkata, aktiviti penguatkuasaan juga telah dijalankan dan sebanyak 4,759 kompaun telah dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM 2,316,600 telah ditawarkan.

Bagaimanapun katanya, setakat ini seramai 63.9 peratus telah membayar kompaun berkenaan.

“Aktiviti pemusnahan tempat pembiakan terus dijalankan oleh anggota kesihatan dan penemuan tempat pembiakan serta tempat berisiko pembiakan jelas menunjukkan masyarakat masih belum lagi peka kepada keperluan pembersihan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!