Amirudin tidak mahu kejadian sama berulang

Amirudin (kanan) meninjau kerja pengepaman di Tasik Idaman Dengkil ke Sungai Semenyih bagi mencairkan pencemaran bau.
Amirudin (kanan) meninjau kerja pengepaman di Tasik Idaman Dengkil ke Sungai Semenyih bagi mencairkan pencemaran bau.
A
A
A

DENGKIL - Masalah air di 366 kawasan Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang sejak Sabtu lalu hampir selesai apabila seramai 336,930 akaun mula menerima bekalan air bersih pada jam 6 petang hari ini.

Ia selepas kadar bacaan pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih berada di paras sifar ton.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebelum ini kadar bacaan pencemaran di loji terbabit berubah-ubah antara sifar dan tiga ton.

"Secara asasnya, ia boleh diagihkan sejak semalam namun masalah bau dikhuatiri menyebabkan ketidakselesaan kepada pengguna.

"Pada hari ini, sebanyak lima kali bacaan diambil oleh Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bermula jam 10.30 pagi menunjukkan bacaan sifar ton. Ini membolehkan pengaktifan loji rawatan dibuat bermula jam 2 petang ini (semalam)," katanya selepas mengadakan lawatan ke Kolam Tasik Idaman, Sungai Buah di sini hari ini.

Amirudin (empat dari kanan) meninjau kerja pengepaman di Tasik Idaman Dengkil ke Sungai Semenyih bagi mengatasi pencemaran bau.
Amirudin (empat dari kanan) meninjau kerja pengepaman di Tasik Idaman Dengkil ke Sungai Semenyih bagi mengatasi pencemaran bau.

Turut hadir, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian.

Amirudin berkata, beberapa langkah penstabilan bekalan air dilakukan bagi mengelak gangguan berulang termasuk pengepaman air dari Tasik Idaman ke Sungai Semenyih.

Artikel Berkaitan:

"Dalam proses selama 24 jam ini, sebanyak 24 juta liter air akan ditarik ke Sungai Semenyih dengan harapan jika berlaku apa-apa kenaikan ton ia akan boleh dicairkan ke paras 0 atau paling minimum 1 ton.

"Selain itu, Air Selangor telah menyediakan pelan B dengan mengalirkan Loji Langat 2 ke Terminal Bangi bagi membantu 55,000 pemilik akaun mendapat bekalan bagi kawasan Bangi yang kini sedang dalam proses," katanya.

Kelmarin, Loy Sian memaklumkan siasatan pencemaran bau di 366 kawasan itu disebabkan pembuangan sisa kimia berjadual seperti minyak berwarna hitam dan bahan industri yang berbau di Bandar Bukit Mahkota.

Susulan itu, Amirudin mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengetatkan pemantauan di lokasi dengan akses laluan ke kawasan itu ditutup atau dihadkan selain dipasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi menghalang aktiviti sama berulang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!