Spurs rampas kedudukan teratas EPL
TOTTENHAM Hotspur melonjak ke puncak Liga Perdana Inggeris apabila Son Heung-min dan James Maddison memastikan kemenangan kelab itu ke atas Fulham 2-0 pada awal pagi Selasa.
Pasukan kendalian Ange Postecoglou itu meneruskan rekod tanpa kalah mereka kepada sembilan perlawanan liga musim ini hasil jaringan pembukaan Son dan gol pertama Maddison di Stadium Tottenham Hotspur.
Tottenham memintas Manchester City, Arsenal dan Liverpool untuk mendahului dua mata di puncak liga.
Fulham merupakan satu-satunya pasukan yang menewaskan Tottenham musim ini dan menyingkirkan mereka daripada saingan Piala Liga menerusi penentuan penalti pada Ogos.
Tetapi, Spurs membalas kekalahan itu dengan mencatat kemenangan liga ketiga berturut-turut untuk mengukuhkan peluang mencabar kejuaraan liga.
Postecoglou menyifatkan Son dan Maddison sebagai pemain yang berkualiti susulan sumbangan mereka berdua dalam kemenangan tersebut.
"Mereka berdua adalah pemain yang berkualiti. Mereka berdua adalah pemimpin di kelab.
"Mereka bekerja keras untuk pasukan dan ia adalah penghargaan kepada mereka," katanya.
Keputusan kurang memuaskan Tottenham dan persembahan buruk di bawah kendalian Antonio Conte musim lalu selain perpindahan Harry Kane ke Bayern Munich menyebabkan ramai menjangkakan tahun ini akan menjadi musim suram buat Postecoglou.
Namun, Postecoglou telah membimbing Tottenham ke arah yang lebih baik dengan perancangan teliti yang telah diaturnya.
"Ia adalah keputusan yang baik menentang lawan yang sukar. Kami mengekalkan kesabaran dan kami memberi tekanan kepada mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!