Jenazah Muhammad Izzat dibawa pulang ke tanah air Khamis ini
KUANTAN - Jenazah mangsa pemerdagangan manusia, Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28, yang meninggal dunia di Tachileik, Myanmar, 14 Oktober lalu dijangka dibawa pulang ke tanah air Khamis ini.
Abang mangsa, Muhammad Hasmalizam, 45, yang berada di Yangon sejak Jumaat lalu berkata, jenazah adiknya dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3 petang.
Menurutnya, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Peramu di sini.
"Pihak keluarga juga telah membuat keputusan tidak akan melakukan bedah siasat kali kedua ke atas jenazah selepas tiba di tanah air.
"Kami telah berpuas hati dengan keputusan perubatan di Yangon kerana ia dipantau pihak Kedutaan Malaysia," katanya menerusi kiriman mesej di WhatsApp pada Selasa.
Muhammad Hasmalizam berkata, maklumat awal laporan bedah siasat memaklumkan adiknya meninggal dunia akibat sesak nafas.
"Walau bagaimanapun keputusan penuh laporan bedah siasat belum diterima lagi," katanya.
Allahyarham Muhammad Izzat dilaporkan menaiki penerbangan ke Bangkok pada 7 Oktober lalu sebelum diculik ke Myanmar melalui jalan darat pada 11 Oktober.
Mangsa kemudiannya diselamatkan oleh wakil pertubuhan kemanusiaan namun disahkan meninggal dunia ketika dalam tahanan sebuah agensi Tachileik di Myanmar pada 14 Oktober lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nurul Diyana Mohd Shukur, 27, dan dua anak lelaki, Muhammad Nu’man dan Muhammad Naqib Anaqi masing-masing berusia enam dan empat tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!