Tidak wajar persoal syarat asas untuk jadi warganegara - Awang Sariyan
SHAH ALAM - Penguasaan bahasa kebangsaan yang menjadi salah satu syarat bagi meluluskan permohonan kewarganegaraan di negara ini tidak wajar dipersoalkan.
Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, syarat penguasaan tersebut adalah sangat asas, iaitu sekadar dapat berkomunikasi mudah dalam bahasa kebangsaan.
Menurutnya, ia sebagai mana menurut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan disebut 'mempunyai pengetahuan bahasa Melayu yang memadai'.
"Saya menyokong pernyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat pada 23 Oktober 2023 tentang ketegasan kerajaan dalam penguasaan bahasa kebangsaan sebagai salah satu syarat meluluskan permohonan memperoleh kewarganegaraan.
"Tidak wajar mana-mana pihak mempersoalkan syarat itu kerana di negara-negara lain pun syarat itu dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, kelonggaran sehingga meluluskan pemohon yang memperoleh dua daripada skala lapan syarat penguasaan bahasa kebangsaan perlu dielakkan supaya tidak ada pemohon yang memandang ringan keperluan menguasai bahasa kebangsaan untuk menjadi warganegara.
"Langkah yang dapat dilakukan adalah dengan menggalakkan pemohon mengikuti kursus asas bahasa kebangsaan yang boleh dianjurkan oleh pihak tertentu, dengan kerjasama dan pemantauan DBP," katanya.
Pada Isnin, Saifuddin Nasution berkata, ujian penguasaan bahasa Melayu dikenal pasti sebagai antara punca kebanyakan pemohon warga emas gagal bagi permohonan taraf warganegara Malaysia.
Katanya, ujian itu menjadi syarat bagi permohonan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) di Dewan Rakyat mengenai isu permohonan warganegara golongan warga emas yang tidak diluluskan, selain mengambil masa lama untuk proses kelulusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!