Sekatan terhadap peserta himpunan Palestin bukan pendirian kerajaan
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tindakan atau sekatan yang dikenakan terhadap peserta himpunan solidariti 'Freedom for Palestine' tidak menggambarkan pendirian kerajaan pada hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, tindakan yang dikenakan penganjur bertujuan untuk membangkitkan semangat solidariti dalam kalangan peserta pelbagai kaum dan agama.
“Kalau himpunan yang dianjurkan oleh satu pertubuhan, kemudiannya mengenakan apa-apa sekatan, itu harus dilihat secara fakta kejadian ketika waktu itu.
“Ia tidak mencerminkan pendirian sepenuhnya kerajaan hari ini dan sebahagian besar umat Islam yang cintakan keamanan dan pendamaian,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang bertanyakan sama ada kerajaan menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada menetapkan sebarang garis panduan melarang peserta himpunan untuk melaungkan takbir.
Sebelum ini himpunan yang dianjurkan Viva Palestina Malaysia (VPM) dikecam kerana melarang pesertanya melaungkan takbir serta menayang sepanduk memaparkan imej kecaman kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Dalam pada itu mengenai kebenaran melaungkan takbir ketika perhimpunan awam, Saifuddin Nasution menjelaskan, tindakan itu mengikut budi bicara penganjur dan kefahaman mereka.
"Soal dibenar atau tidak dibenarkan takbir, saya tidak fikir itu isu utamanya. Saya Muslim, takbir ertinya melaungkan kebesaran ALLAH. Tiada khilaf di antara kita.
"Hal ini adalah bagaimana penganjur (himpunan) itu mengikut budi bicara mereka dan kefahaman mereka. Machang (Wan Ahmad Fayhsal) boleh anjurkan 20,000 atau 30,000 (himpunan) esok, takbirlah. Kalau saya ada masa, akan turut serta dan takbir sekuat-kuatnya," jelasnya.
Saifuddin berkata, kerajaan sehingga kini kekal dengan pendirian untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menolak sebarang bentuk kerjasama negara dengan Israel.
“Soal boleh atau tidak mengecam Benjamin Netanyahu, pendirian kita juga jelas. Hakikatnya kita mengiktiraf perjuangan rakyat Palestin dengan sendiri kita menidakkan sokongan (kepada Netanyahu).
“Kita tegaskan pendirian kerajaan, saya sampaikan dengan penuh tanggungjawab. Pengiktirafan dan simpati terhadap Palestin, itu tiada siapa boleh dipertikai,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!