Pengarah urusan tidak mengaku buat tuntutan palsu Penjana Kerja

Sentil Kumar (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas empat pertuduhan membabitkan tuntutan palsu Program Insentif di bawah program penjanaan kerjaya 2.0 untuk kegunaan diri sendiri berjumlah RM59,560 dua tahun lalu.
Sentil Kumar (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas empat pertuduhan membabitkan tuntutan palsu Program Insentif di bawah program penjanaan kerjaya 2.0 untuk kegunaan diri sendiri berjumlah RM59,560 dua tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengarah urusan sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas empat pertuduhan membabitkan tuntutan palsu Program Insentif di bawah program penjanaan kerjaya 2.0 untuk kegunaan diri sendiri berjumlah RM59,560.

Tertuduh M Sentil Kumar, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh selaku pemilik SP Agro Industry Sdn Bhd dengan niat untuk memperdayakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengemukakan 14 nama individu berbeza dalam borang pengesahan pekerja yang bukan kakitangan syarikat berkenaan.

Dia yang menetapkan di Temerloh didakwa mengelirukan PERKESO dengan mengemukakan dokumen tersebut bagi menuntut insentif di bawah Penjana Kerjaya 2.0 sebanyak RM59,560.

Perbuatan itu didakwa dilakukan olehnya di Wisma PERKESO, Jalan Mat Kilau di sini pada 24 Jun 2021.

Sentil Kumar didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan serta boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan wang jaminan RM30,000 bagi keempat pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau juga memohon agar mahkamah mengenakan syarat tambahan kepada tertuduh iaitu melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan, selain menyerahkan pasportnya ke mahkamah sehingga kes perbicaraan selesai.

Peguam, Vijaya Sandran mewakili tertuduh merayu agar mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin sebanyak RM10,000 kerana menyara bapa uzur dan telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaraya.

Kes disebut semula 23 November depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!