Ibu bapa meninggal dunia, graduan OKU ditemani rakan rai kejayaan

Muhammad (tengah) dikelilingi rakan baiknya selepas menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UMT ke-21 di Dewan Sultan Mizan, UMT pada Selasa.
Muhammad (tengah) dikelilingi rakan baiknya selepas menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UMT ke-21 di Dewan Sultan Mizan, UMT pada Selasa.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang graduan orang kurang upaya (OKU) tidak dapat menyembunyikan rasa sayu ketika menerima ijazah tanpa kehadiran insan tersayang pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-21 pada Selasa.

Bagaimanapun, kesedihan Muhammad Abdullah, 24, yang berasal dari Gerik, Perak terubat apabila dia ditemani rakan sepengajian yang menceriakannya pada hari penuh bersejarah itu.

Difahamkan, bapa Muhammad, Abdullah Awang Ahmad, 66, meninggal dunia kerana sakit tua pada 2015 sementara ibunya, Azizah Awang Itam, 62, meninggal dunia akibat kegagalan organ dalaman pada 2018.

"Saya berasa sedih sebab ibu bapa saya tiada pada hari bersejarah ini. Mujurlah saya ditemani rakan-rakan yang sentiasa ada di sisi saya yang sentiasa menceriakan dan mengubat rasa sedih.

"Walaupun mereka telah tiada, ijazah yang saya genggam hari ini (Selasa) adalah hadiah yang saya dedikasikan kepada kedua ibu bapa saya dan keluarga," katanya ketika dihubungi di sini.

Graduan Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) itu menghidap penyakit saraf sejak lahir menyebabkan dia sukar untuk berjalan serta membataskan aktivitinya sepanjang tempoh pengajian.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, dia bersyukur kerana ramai rakan yang membantu serta memberikan dorongan kepadanya sepanjang menempuh alam pengajian di universiti itu.

Artikel Berkaitan:

Muhammad (duduk, kanan) merakam gambar bersama rakan sepengajian di jambatan angkat sempena Majlis Konvokesyen UMT ke-21 pada Selasa.
Muhammad (duduk, kanan) merakam gambar bersama rakan sepengajian di jambatan angkat sempena Majlis Konvokesyen UMT ke-21 pada Selasa.

"Pada awalnya saya agak sukar untuk menyesuaikan diri, ditambah pula orang sekeliling sering memandang saya ke mana saja saya pergi dengan berkerusi roda.

"Mujurlah saya dikelilingi rakan-rakan yang baik dan sering membantu. Mereka amat peka dengan keterbatasan saya dan jika terdapat program atau aktiviti yang memerlukan pergerakan fizikal, mereka terlebih dahulu memikirkan kesesuaian untuk saya.

“Saya bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian walaupun diri ini tidak seperti penuntut normal yang lain dan hari ini hari paling gembira buat saya," ujarnya.

Menurut Mohammad, dia berterima kasih kepada pihak pengurusan universiti dalam menyediakan kemudahan fasiliti serta memberi sokongan serta menyediakan keperluan golongan OKU.

Ujarnya, kekurangan bukan halangan untuk individu sepertinya menggapai impian dan cita-cita dengan memanfaatkan peluang yang diberikan.

"Saya sentiasa meletakkan kekurangan dimiliki ini sebagai pembakar semangat untuk mencapai impian walaupun pada awalnya agak sukar," katanya.

Mohammad antara 2,388 graduan yang menerima ijazah sempena majlis Konvokesyen UMT ke-21 di Dewan Sultan Mizan yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 Oktober 2023.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!