Dua termasuk CEO GLC didakwa subahat, terima rasuah RM350,000

Mohd Zamry (kanan) dan Anuar (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa.
Mohd Zamry (kanan) dan Anuar (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Dua individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas pertuduhan bersubahat dan menerima suapan berjumlah RM350,000, tahun lalu.

Bagaimanapun, CEO berkenaan, Mohd Zamry Sulaiman, 52, dan Anuar Mat Isa, 54, yang bekerja sendiri mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, Mohd Zamry didakwa telah bersubahat dengan Anuar iaitu secara rasuah menerima suatu suapan wang RM250,000 dan RM100,000 daripada seorang individu lelaki.

Ia sebagai upah untuk membantu sebuah syarikat dilantik bagi melakukan kerja-kerja menaik taraf sistem mekanikal dan elektrikal di Kompleks Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur bagi Tetuan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Senawang, Seremban pada 1 Jun dan 11 Oktober 2022.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan terhadap Anuar pula, di lokasi dan tarikh sama, dia didakwa secara rasuah menerima suatu suapan iaitu wang berjumlah RM350,000 melalui cek daripada individu sama dalam akaun bank miliknya sebagai upah bagi membantu syarikat berkenaan bagi tujuan sama.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Abd Muntaqim Abdul Aziz dan Fatin Farhana Ismail, manakala Mohd Zamry diwakili peguam, A Ashok dan V Muniandy sementara Anuar diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM terdekat pada Sabtu pertama setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 12 Disember depan.