Kes bunuh CEO Cradle: Saksi sahkan telefon Blackberry tak meletup

Perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan.
Perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan.
A
A
A

SHAH ALAM - Saksi ke-15 kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan mengesahkan tiada kes melibatkan telefon bimbit jenis BlackBerry meletup dilaporkan sebelum ini.

Pegawai Penyiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli berkata, kejadian itu tidak pernah berlaku sepanjang beliau berkhidmat dan tiada laporan mengenai letupan telefon bimbit berkenaan dilaporkan menerusi carian di laman web Google.

Abdul Halim berkata, pada 14 Jun 2018, sebelum meninggalkan premis tempat kejadian, beliau ada bertanya mengenai telefon bimbit milik mangsa kepada tertuduh pertama, Samirah Muzaffar, 44.

"Samirah ada memberitahu arwah mempunyai telefon bimbit termasuk BlackBerry.

"Saya pulang untuk buat kajian mengenai telefon bimbit dan dapati ia adalah BlackBerry. Saya gunakan Google dan dalam kajian saya, tiada telefon bimbit jenis ini yang meletup sebelum ini" katanya.

Abdul Halim berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Salim Soib @ Hamid.

Saksi itu juga memaklumkan, jika berlaku letupan, bentuk bateri tersebut tidak boleh dicam, tetapi dalam kes ini bentuk bateri tersebut masih boleh dicam.

"Jika berlaku letupan akan ada sisa yang bertaburan dan akan ada kesan tetapi bagi kes ini tiada kesan-kesan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Malah jika dilihat keadaan luar pada telefon itu lebih teruk dari dalam (bateri)," katanya.

Abdul Halim juga berkata, keadaan fizikal BlackBerry itu juga masih baik selain tiada kesan letupan.

Beliau juga memberitahu mahkamah, bahagian dalamnya juga masih dalam keadaan baik berbanding kesan kebakaran di luar.

Pada masa sama, Abdul Halim ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asyraf Ashy'ri Kamaruzzaman dalam keterangannya sebelum ini tidak bersetuju dengan animasi yang dikemukakan pihak pembelaan berhubung kejadian berkenaan dan beliau berkata ia tidak seperti kedudukan bahan bukti yang ditemuinya.

Halim memberitahu mahkamah lagi, animasi itu menunjukkan telefon bimbit berada di tepi mangsa sedangkan beliau menemuinya di kedudukan berbeza.

"Peguam bela hendak beritahu ada 'powerbank' tetapi dalam siasatan saya tidak jumpa apa-apa 'powerbank'. Yang saya jumpa telefon bimbit.

"Kedudukan wayar sambungan yang saya jumpa ada kabel yang (merintangi) ke arah tilam, dalam animasi ada kabel bersambung dengan telefon bimbit," katanya.

Beliau juga tidak bersetuju dengan animasi yang menunjukkan api pada rambut mangsa merebak ke bahagian lain di bilik itu kerana rambut bukan bahan yang boleh mengekalkan api selain bersifat hangus.

"Ia tidak boleh bawa api iaitu menjadi obor bawa ke tempat lain," katanya.

Samirah Muzaffar, 44, yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!