Pendakwaan kes 1MDB mohon tiga pertuduhan Najib dipinda

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan dalam kes penyelewengan dana RM2.28 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan pindaan di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, bagi dua pertuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan penyalahgunaan kedudukan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar berkata demikian ketika perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, membabitkan bekas Perdana Menteri itu di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Semasa prosiding, Kamal Baharin berkata, pindaan membabitkan jumlah wang dengan pengurangan RM5,360,065 kepada RM2.27 bilion.

Menurutnya, pindaan tiga pertuduhan itu tidak akan memprejudis hak Najib kerana bekas Ahli Parlimen Pekan ini diberi peluang untuk membela diri.

Beliau berkata, mahkamah perlu membenarkan permohonan ini kerana ia akan memberi perincian yang lebih jelas mengenai pertuduhan itu.

“Pemeriksaan oleh pihak pembelaan terhadap SP47 (saksi pendakwaan ke-47 yang juga penganalisis Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Adam Ariff Mohd Roslan) dan beberapa saksi lain juga masih belum selesai.

"Seksyen 162 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) membenarkan mana-mana saksi dipanggil semula untuk pemeriksaan balas dengan lebih lanjut,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib membantah permohonan pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

“Permohonan ini adalah langkah serius dalam kes pendakwaan, kami perlu melihatnya secara berhati-hati.

"Pihak kami mencadangkan, prosiding bersambung dengan hujahan isu dokumen kes itu," katanya.

Najib, 70, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!