Maqis Perlis rampas 1,075kg mangga tercemar
PADANG BESAR - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Perlis merampas 1,075 kilogram (kg) buah mangga bernilai RM1,612.50 yang sudah dicemari serangga perosak Jumaat lalu.
Pengarahnya, Khairi Arif berkata, semua mangga diimport dari Thailand itu dirampas dari sebuah lori selepas kakitangan Maqis mengesan kehadiran serangga perosak dalam buah berkenaan.
"Pemeriksaan dilakukan secara pensampelan mendapati terdapat kumbang pengorek di dalam buah mangga berkenaan.
"Pemeriksaan hasil pertanian dari luar negara ini bertujuan menghalang kemasukan serangga perosak yang boleh melumpuhkan industri pertanian negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Khairi, perbuatan mengimport buah-buahan yang mengandungi perosak dan penyakit adalah menjadi satu kesalahan bawah Seksyen 14, Akta Perkhidmatan Kurantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, pesalah akan didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya," katanya.
Khairi berkata, Maqis sentiasa komited melaksanakan tugasan di pintu masuk untuk mengawal kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!