Pergerakan lori mencurigakan bongkar penyelewengan diesel

Keadaan di satu lokasi yang disyaki ada aktiviti penyelewengan diesel. - Foto KPDN Negeri Sembilan
Keadaan di satu lokasi yang disyaki ada aktiviti penyelewengan diesel. - Foto KPDN Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Tindakan mencurigakan lori-lori yang berulang-alik membuat pengisian minyak di stesen-stesen minyak yang disasarkan membongkar kegiatan menyeleweng diesel di sekitar daerah ini, Port Dickson dan Nilai.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan mendapati ia telah diubahsuai bagi tujuan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.

Menurutnya, tindakan menerusi Ops Tiris pada Sabtu dan Isnin di Lukut serta Seremban itu telah merampas 5,201 liter diesel dengan nilai lebih kurang RM11,000.

"Turut disita, dua buah lori dan enam unit tangki IBC yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM30,981.50.

"Seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen atau permit yang sah dan melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tangki IBC di dalam lori untuk mengisi diesel.- Foto: KPDN Negeri Sembilan
Tangki IBC di dalam lori untuk mengisi diesel.- Foto: KPDN Negeri Sembilan

Sebelum itu, dalam empat operasi sama sebanyak 58,100 liter diesel dianggarkan bernilai RM124,915 telah dirampas di tiga stesen minyak di sekitar Seremban dan Nilai serta di sebuah premis tanpa nombor.

"Premis itu dipercayai dijadikan tempat pengumpulan dan penyimpanan diesel bagi tujuan untuk diseleweng di Jalan Kuala Sawah Angsamas, Seremban. Empat lelaki juga warga tempatan turut ditahan susulan operasi ini.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ini dijalankan hasil maklumat yang diterima serta risikan dan pemantauan oleh anggota serbuan ke atas pergerakan lori-lori yang mencurigakan di lokasi berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan rekod, pihaknya berjaya menyelamatkan 859,583 liter diesel bersubsidi dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 juta sejak 1 Mac hingga kini.

"Ia adalah hasil daripada tindakan penguatkuasaan berterusan oleh anggota penguat kuasa serta kerjasama erat bersama pelbagai agensi penguatkuasaan yang lain.

"KPDN Negeri Sembilan sentiasa komited menjalankan pemantauan serta meneruskan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan.

"Kami juga tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang- undang di bawah KPDN, khususnya dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan barang kawalan diesel bagi memastikan aktiviti haram yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!