60,000 beg mayat, sarung tangan diterbangkan ke Palestin

Zulkifli (dua dari kanan) melihat telaga tiub yang dibina di Taman Rantau Mas di Rantau Panjang.
Zulkifli (dua dari kanan) melihat telaga tiub yang dibina di Taman Rantau Mas di Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Muslim Care Malaysia (MCM) akan menerbangkan 60,000 beg mayat dan sarung tangan bagi membantu pengurusan rakyat terkorban dalam peperangan di Palestin pada Jumaat ini.

Bantuan bernilai RM100,000 itu akan dibawa menerusi dua penerbangan dari Kuala Lumpur ke pintu Rafah di Mesir.

Presiden MCM Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya bekerjasama dengan 39 badan bukan kerajaan (NGO) bagi menghantar bantuan itu melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang diselia oleh Kementerian Luar Negeri.

Katanya, bagaimanapun perlu menunggu pintu Rafah di sempadan Mesir-Semenanjung Gaza itu dibuka untuk membawa masuk peralatan perubatan tersebut kepada penduduk di negara berkenaan.

“Kami mengumpulkan kira-kira 50 tan bantuan termasuk beg mayat dan sarung tangan tersebut untuk dihantar ke negara Palestin yang diancam kezaliman Zionis ketika ini.

“Selain itu, akan turut dihantar ialah selimut, susu untuk bayi dan dewasa, botol-botol susu bayi serta makanan berbentuk bijirin,” katanya pada sidang akhbar selepas Perasmian Projek Water2Survive di Taman Rantau Mas di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau memberitahu peralatan perubatan bernilai RM500,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia yang dibeli di Kaherah, Mesir sebelum ini masih lagi terkandas di pintu sempadan berkenaan.

Katanya, peralatan seperti katil hospital, ambulans, kerusi roda, tongkat dan ubat-ubatan tersebut akan segera dibawa masuk ke Palestin sebaik sahaja pintu Rafah dibuka.

Artikel Berkaitan:

“Persiapan dibuat sejak empat hari lalu dan hanya menunggu pintu sempadan dibuka pada bila-bila masa untuk menghantar bantuan perubatan tersebut.

“Keadaan penduduk Gaza sangat genting ketika ini dan tiga sukarelawan MCM sudah berada di Mesir pada Sabtu lalu untuk persediaan sebaik sahaja dibenarkan masuk,” katanya.

Tambah beliau, MCM sudah pun berjaya menyalurkan bantuan air dan makanan bernilai RM900,000 ke penduduk terjejas dalam tiga siri bermula hari keempat sejak peperangan Israel-Palestin dua minggu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!