ADUN Sungai Udang dakwa dipinggir Bersatu Tangga Batu
MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof akan setia bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meskipun mendakwa tidak mendapat 'restu' daripada Bersatu Tangga Batu.
Mohd Aleef berkata, beliau kesal apabila pihak berkenaan masih menganggapnya sebagai Pemuda UMNO sedangkan beliau telah membawa kemenangan di kerusi DUN Sungai Udang.
Menurutnya, kerana persepsi itu, beliau mendakwa dipinggirkan dan kehadirannya di kawasan itu seolah-olah tidak dialu-alukan termasuk tidak dijemput pada persidangan bahagian Bersatu Tangga Batu yang berlangsung Sabtu lalu.
"Sepatutnya penyakit hati ahli politik seperti takut kehilangan jawatan dan kedudukan tidak timbul. Apa yang lebih penting saat ini adalah kerjasama merapatkan ukhuwah serta menyemai semangat setia kawan tinggi untuk memenangi pilihan raya akan datang.
"Walaupun mempunyai cabaran kecil sebegini saya tetap akan kekal bersama Bersatu, tidak berpatah arang, cuma benda ini bukan sekali berlaku tapi dah banyak kali sebenarnya.
"Saya masih lagi setia kerana menghargai kebaikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengangkat saya sebagai calon dan seterusnya menang sebagai wakil rakyat," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
Mohd Aleef berkata, niatnya ikhlas bersuara mengenai hal itu supaya semua pihak tahu termasuk di peringkat pusat dapat melakukan pembaharuan.
Dakwanya, Ketua Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub mengetahui isu itu dan seharusnya bersikap lebih adil serta bertindak melakukan sesuatu bagi menjernihkan keadaan.
"Jangan bermain politik sesama kita, dan saya bukan nak memburukkan nama Bersatu tetapi ini realitinya," katanya.
Mengakui layanan yang diterima dalam kalangan Pemuda UMNO jauh lebih baik daripada parti sendiri, Mohd Aleef bagaimanapun menegaskan tidak akan meninggalkan Bersatu kerana mengenangkan jasa dua pemimpin dalam parti itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!