KPDN Kelantan gagalkan cubaan seleweng 1,025 liter petrol
TUMPAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup 1,025 liter petrol selepas menahan sebuah kereta di Kampung Kedemit di sini, pada Selasa.
Kereta jenis Proton Wira Aeroback itu ditahan menerusi Op Tiris pada jam 5.45 pagi.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, bagaimanapun pemandu bertindak melarikan diri sejurus kereta tersebut ditahan.
"Pemeriksaan ke atas kereta itu telah menjumpai 1,025 liter minyak petrol yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Azman berkata, KPDN Kelantan turut menyita kereta yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan itu.
Ujarnya, KPDN Kelantan sentiasa mempertingkatkan tugasan penguatkuasaan serta Ops Tiris bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di negeri ini dari semasa ke semasa.
Azman turut memberitahu, pada Isnin pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup petrol selepas menahan sebuah kereta jenis Perodua Kenari di Kampung Cenderong Batu.
"Sebelum itu KPDN Kelantan telah mengekori suspek sejauh tujuh kilometer sebelum menahannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!