Gantung kain rentang anti jawi di pagar sekolah

A
A
A
MELAKA TENGAH - [DIKEMASKINI] Kerajaan Melaka kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menggantung kain rentang anti jawi di luar pintu pagar beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri ini.

Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, pihak berkenaan didakwa mencetak kain rentang dalam jumlah banyak sebelum menggantungkannya di luar pagar sekolah pada hari Sabtu lalu ketika kakitangan pengurusan sedang bercuti.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu laporan daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah berkenaan isu itu dan akan membuat laporan polis sekiranya perkara seperti ini terus berulang.

"Ini namanya 'baling batu, sembunyi tangan'. Ini bukan kerja PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) atau LPS (Lembaga Pentadbir Sekolah). Ini kerja pihak ketiga dan apa yang berlaku tiada kaitan langsung dengan sekolah terbabit.

"Saya juga telah mengarahkan PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk segera menurunkan kain rentang berkenaan yang kita percaya digantung sejak kelmarin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Artikel Berkaitan:


Noor Effandi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, memberi amaran agar pihak yang melakukan segera menghentikan perbuatan itu.

"Tolong hentikan agenda buruk ini, negeri Melaka bukan tempatnya, ini negeri di mana rakyat semuanya bersatu-padu dan memuliakan kepelbagaian kaum. Melayu, Cina, India, Portugis dan Chetti di Melaka adalah sahabat sejati sejak beratus tahun lamanya.

"Jangan politikkan ilmu tiga muka surat yang hanya akan diajar tidak lebih satu jam untuk murid tahun empat sahaja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!