Ular sawa ditangkap lepas telan monyet
BALING - Seekor ular sawa yang kekenyangan selepas menelan seekor monyet peliharaan berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Sera Ulu, Pulai di sini pada Isnin.
Pegawai APM Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, kehadiran ular sawa itu disedari penduduk ketika hendak memberi makan monyet peliharaannya di belakang rumah.
Menurutnya, reptilia seberat kira-kira 80 kilogram itu berjaya ditangkap APM selepas dihubungi penduduk sebaik sahaja menyedari kejadian.
"Dalam keadaan cemas melihat monyetnya dibaham ular sawa, lelaki terbabit menghubungi talian kecemasan APM Baling untuk mendapatkan bantuan bagi menangkap reptilia itu.
"Pihak kami menerima panggilan kecemasan jam 7.30 pagi dan tiba di lokasi 15 minit kemudian," katanya.
Mohd Faizol berkata, sebaik tiba mendapati terdapat seekor ular sawa seberat 80 kilogram dan panjangnya hampir tujuh meter.
"Operasi dilakukan menggunakan peralatan khas dan akhirnya berjaya ditangkap sebelum dibawa ke pejabat APM Baling untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Faizul menasihatkan orang awam supaya berhati-hati dengan ancaman haiwan liar dan sebarang kecemasan boleh menghubungi APM Baling di talian 04-4701626 (24 jam) atau 999 untuk mendapatkan bantuan.
Beliau berkata, perubahan cuaca sejak kebelakangan ini menyebabkan semakin banyak kes membabitkan ular diterima APM terutama bersaiz besar menceroboh masuk rumah penduduk sekitar daerah ini.
Katanya, sepanjang bulan ini, jumlah panggilan membabitkan ular yang diterima adalah sebanyak 65 kes termasuk tangkapan ular sawa, tedung selar, tedung senduk dan rusuk kerbau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!