Israel sasar bunuh 15,000 rakyat Palestin - Amec

Pasukan perubatan Palestin membawa jenazah kanak-kanak yang terbunuh akibat serangan Israel ke atas hospital Najjar di Rafar, Gaza pada Selasa. - Foto AFP (Gambar kecil: Muslim)
Pasukan perubatan Palestin membawa jenazah kanak-kanak yang terbunuh akibat serangan Israel ke atas hospital Najjar di Rafar, Gaza pada Selasa. - Foto AFP (Gambar kecil: Muslim)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Israel menyasarkan untuk membunuh 15,000 rakyat Palestin bagi menutup 'malu' selepas operasi ketenteraan Zionis lumpuh selama tiga jam akibat diserang Hamas baru-baru ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Dialog Timur Tengah Asia (Amec), Dr Muslim Imran berkata, dalam kejadian tersebut, hanya 1,200 tentera Hamas yang terlibat namun sekurang-kurangnya 5,000 rejim Zionis mati, ditahan termasuk mengalami kecederaan.

Ujarnya, disebabkan serangan berkenaan, mereka dilihat terdesak untuk menebus semula maruah dengan melakukan pengeboman setiap masa terhadap Gaza.

"Peperangan sebelum ini, jumlah kematian antara Israel dan Palestin agak jauh beza. Pada tahun 2014, rejim Zionis menyerang selama 51 hari, cuma seorang maut sebaliknya kita mencatatkan 27 orang.

"Dalam mentaliti mereka menerapkan bahawa jika mahu mengawal Gaza harus membunuh sebanyak mungkin. Jadi, takkan puas hati kalau 2,000 atau 3,000 rakyat Palestin sahaja mati," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas ucapan bertajuk: Pengamalan Hidup Sebagai Rakyat Palestin bawah Rejim Zionis Israel di Wacana Pengamal Media: Solidariti Palestin di Studio TV Alhijrah di sini pada Selasa.

Tambah Muslim, ketidakpuasan hati Israel makin bercambah apabila kematian penduduk mereka pula kini mencecah 5,000 berbanding Palestin iaitu 1,500 orang.

"Jadi situasi ini jelas menunjukkan mengapa rejim Zionis menyerang hospital dan sekolah, kerana dari segi nombor (kematian atau cedera) pun tidak mahu kalah. Saya takut, kemungkinan rakyat Palestin yang akan mati syahid boleh bertambah hingga 15,000 orang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, beliau berharap media Malaysia dapat membantu bagi memberi kesedaran kepada dunia mengenai penderitaan yang dialami penduduk Gaza.

"Hari pertama peperangan, media Barat cuba menggambarkan rakyat Palestin sebagai raksasa.

"Mereka juga fokus kepada laporan palsu, contoh Hamas membunuh 40 bayi, itu tidak benar, mana bukti. Jadi, saya harap media Malaysia termasuk Asia akan membantu menggambarkan situasi sebenar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!