Young Tigers dituntut menyerlah di SOJC 2023

Barisan pemain Young Tigers yang menggalas cabaran Malaysia pada SOJC 2023. - - Foto: MHC. (Gambar kecil: Muhamad Amin)
Barisan pemain Young Tigers yang menggalas cabaran Malaysia pada SOJC 2023. - - Foto: MHC. (Gambar kecil: Muhamad Amin)
A
A
A

PENGENDALI skuad hoki remaja negara, Muhamad Amin Rahim menyenaraikan dua muka baharu bagi memantapkan cabaran Young Tigers dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 di Stadium Hoki Taman Daya.

Beliau berkata, tiada rombakan terhadap pasukan yang mengikuti Siri Jelajah Eropah sebelum ini, apabila menyenaraikan Eswaran George dan Muhammad Alief Adha Akhbar bagi kejohanan pada 27 Oktober hingga 4 November itu.

“Tidak banyak perubahan pemain yang disenaraikan untuk skuad SOJC Kali ini. Hanya ada dua muka baharu yang disenaraikan iaitu Eswaran (penyerang) dan Alief Adha (pertahanan).

“Pemilihan pemain berdasarkan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para pemain ketika sesi latihan serta Siri Jelajah Eropah tempoh hari.

“Selain daripada hoki, disiplin yang tinggi ketika sesi latihan juga diambil kira kerana ia antara kunci utama kejayaan sesebuah pasukan dan juga pemain,” katanya pada Selasa.

Kejohanan bawah 21 tahun itu menghimpunkan pasukan terbaik dunia menyaksikan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama India, Pakistan dan New Zealand manakala Kumpulan A menampilkan Jerman, Australia, Afrika Selatan dan Great Britain.

Dalam pada itu, Amin Rahim berkata, kejohanan ini juga menjadi medan terakhir buatnya bersama barisan kejurulatihan mempersiapkan skuad terbaik bagi menghadapi kempen Piala Dunia Remaja.

“Hanya tinggal enam minggu sebelum bermulanya Kempen Piala Dunia Remaja dan SOJC merupakan medan terakhir persiapan pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Sudah pasti ia akan digunakan sebagai pentas penilaian terakhir buat para pemain untuk membuktikan mereka layak menggalas tanggungjawab beraksi pada Piala Dunia Remaja nanti.

“Tempoh ini juga kami harus memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan sebelum bermulanya Piala Dunia Remaja. Pemain juga harus mengambil tanggungjawab untuk memperbaiki kesilapan individu serta pasukan supaya mereka tidak berada selesa serta mengambil mudah dengan segala yang mereka lakukan di atas padang,” katanya.

SOJC edisi ke-11 juga menjadi medan Malaysia dan negara-negara bertanding, kecuali Great Britain, untuk melakukan persediaan akhir sebelum menghadapi Piala Dunia Remaja Kuala Lumpur 2023 pada 5 hingga 16 Disember depan.

Amin Rahim juga turut mengharapkan aksi terbaik dipamerkan anak buahnya di SOJC tanpa melupakan misi utama Piala Dunia Remaja.

“Pastinya saya mengharapkan satu persembahan yang baik daripada semua pemain yang dipilih dan kami sedar dalam tempoh enam minggu ada dua kejohanan besar.

“Kami harus bijak untuk beraksi dalam kapasiti dan kondisi yang terbaik, dengan tidak melupakan bahawa Piala Dunia adalah matlamat utama kami.

“Buat para pemain, turunlah beraksi dengan penuh keyakinan dan percaya dengan persiapan yang telah pasukan lakukan selama ini,” katanya.

SKUAD YOUNG TIGERS DI SOJC 2023

1.Mohamad Rafaizul Mohamad Saini - Penjaga Gol

2.Muhammad Danish Afnan Mohd Faizal - Penjaga Gol

3.Muhammad Alief Adha Akhbar - Pertahanan

4.Azmilmuizzuddin Misron - Pertahanan

5.Ahmad Suhaimi Kamaruddin Pertahanan

6.Wan Muhammad Najmie Ahmad Dzaib - Pertahanan

7.Andywalfian Jeffrynus - Pertahanan

8.Muhamad Faris Harizan - Pertahanan

9.Muhammad Khairul Norizam - Tengah

10.Alfarico Lance Liau Jr - Tengah

11.Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar - Tengah

12.Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari - Tengah

13.Muhammad Danish Danial Abdul Wahab - Tengah

14.Mughni Mohamad Kamal - Tengah

15.Eswaran George Penyerang

16.Mohamad Shamir Rizmi Shamsul - Penyerang

17.Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar - Penyerang

18.Mohammad Harris Iskandar Osman - Penyerang

19.Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini - Penyerang

20.Shahmie Irfan Suhaimi - Penyerang

PENGURUSAN, KEJURULATIHAN YOUNG TIGERS SOJC 2023

Pengurus Pasukan: I Vikneswaran

Ketua Jurulatih: Muhamad Amin Rahim

Pengarah Teknikal: Stephen Van Huizen

Penolong Pengurus Pasukan: Megat Azrafiq Megat Termizi

Jurulatih Penjaga Gol: Roslan Jamaluddin

Penolong Jurulatih:Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil

Penolong Jurulatih: Baljit Singh Charun Singh

Jurulatih Kecergasan: John Archbold

JADUAL PERLAWANAN

KUMPULAN B

JUMAAT (27 OKTOBER)

Malaysia lawan New Zealand, 8.35 malam

SABTU (28 OKTOBER)

Malaysia lwn India, 8.35 malam

SELASA (31 OKTOBER)

Malaysia lwn Pakistan, 8.35 malam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!