48 jam yang kritikal
GENTING GAZA - Kementerian Kesihatan di Genting Gaza memberi amaran generator yang membekalkan kuasa elektrik ke hospital di wilayah itu hanya dapat bertahan untuk tempoh 48 jam lagi.
Jurucakapnya, Ashraf al-Qudara menerusi saluran Telegram pada Selasa berkata, penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza sangat perlahan dan tidak dapat mengubah realiti sebenar dihadapi Palestin.
“Sistem penjagaan kesihatan telah mencapai tahap paling teruk dalam sejarah,” tegasnya.
Sejak awal fasa konflik Hamas-rejim Zionis itu bermula pada 7 Oktober lalu, petugas perubatan di Gaza telah menyuarakan kebimbangan terhadap operasi hospital yang mungkin terjejas berikutan bekalan bahan api yang semakin berkurangan susulan pelaksanaan kepungan haram secara menyeluruh oleh Israel sebagai ‘hukuman’ ke atas Hamas.
Rakaman video yang menjadi tular menunjukkan kemudahan kesihatan di Gaza kini bergelap.
Paling menyayat hati, pasukan perubatan dilihat menerima pesakit yang dibawa ambulans sambil menggunakan lampu suluh mudah alih.
Susulan keadaan yang semakin kritikal, Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menggesa penghantaran berterusan bantuan kemanusiaan. - Agensi
Info:
>Pada Isnin, sebanyak 32 pusat kesihatan tidak lagi dapat beroperasi selepas Israel menyekat akses kepada bekalan penting termasuk bahan api.
>Hospital Indonesia di kawasan Beit Lahia di utara Gaza juga terpaksa ditutup setelah kemudahan penting tidak lagi dapat berfungsi susulan kehabisan bekalan kuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!