Longkang tersumbat dipercayai punca banjir kilat
SHAH ALAM - Longkang tersumbat dipercayai menjadi punca Jalan Ikhlas 25/38 di Taman Seri Muda di sini dilanda banjir kilat sekitar jam 4 petang susulan hujan lebat pada Selasa.
Tinjauan Sinar Harian mendapati limpahan air berlaku di atas jalan sekitar jam 4 petang selepas hujan lebat melanda Seksyen 25 kira-kira jam 2 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, TPgB Ahmad Nazmi Halil ketika dihubungi bagaimanapun berkata, keadaan terkawal dan tiada risiko banjir dilaporkan di kawasan itu.
Menurutnya, pemantauan turut dilakukan anggotanya di beberapa kawasan lain yang berisiko dilanda banjir namun keadaan juga didapati terkawal dan dalam keadaan baik.
"Antaranya seperti Seksyen 13, Taman Kebun Bunga, sekitar Jalan Batu 3 selain di Seksyen 25," katanya.
Terdahulu, beberapa gambar sempat dirakam Sinar Harian menunjukkan limpahan air di atas jalan di Jalan Ikhlas 25/38 sekitar jam 4 petang selepas hujan lebat melanda Seksyen 25.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!