Kontinjen para negara mampu lepasi sasaran pingat - Hannah

Hannah
Hannah
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh optimis kontinjen Malaysia di Sukan Para Asia Hangzhou 2022 mampu melepasi sasaran 35 pingat yang ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau berkata, ia berdasarkan prestasi semasa ditampilkan kem negara yang kini meraih keseluruhan 16 pingat, termasuk empat emas walaupun baru sahaja dua hari temasya sukan berkenaan membuka tirai sejak Ahad.

"Hari ini hari kedua selepas pembukaan dan setiap hari saya dapat update, banyak pingat sudah masuk (diraih). Saya yakin kita akan melepasi sasaran MPM dan MSN.

"Tahniah untuk mereka yang telah berikan emas, terima kasih atas prestasi cemerlang mereka," katanya selepas majlis pelancaran Kejohanan Boling Kebangsaan Malaysia ke-45 dan Kejohanan Boling Antara Negeri ke-34, pada Selasa.

Malaysia kini berada di tangga kelapan dalam carta pungutan pingat pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022 dengan merangkul empat emas, enam perak dan enam gangsa.

Dalam pada itu, Hannah berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menyalurkan geran padanan sebanyak RM60,000 kepada Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) untuk menganjurkan kejohanan berprestij selain pembangunan atlet boling di peringkat akar umbi.

"Saya harap dengan adanya geran padanan sukan dapat melahirkan lebih ramai juara dunia dalam sukan boling," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok berkata, geran padanan yang diterima akan dimanfaatkan kongres berkenaan untuk mengadakan pelbagai program pembangunan jurulatih di negeri-negeri dalam usaha melahirkan lebih ramai jaguh dunia.

Artikel Berkaitan:

"KBS menyerahkan dana itu untuk adakan kejohanan, tetapi kita juga akan manfaatkannya untuk program jurulatih seperti mengadakan klinik dan kursus untuk jurulatih di semua negeri," katanya.

Mengenai Kejohanan Boling Kebangsaan Malaysia ke-45 dan Kejohanan Boling Antara Negeri ke-34 yang akan membuka tirai Rabu, Maradona berkata, MTBC berharap ia dapat mencungkil lebih ramai pemain boling berbakat, sekali gus melahirkan lebih ramai juara dunia pada masa akan datang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!