Mudah sangat kafirkan orang

Johari melarang penggunaan perkataan ‘kafir’, ‘Zionis’ dan ‘Yahudi’ di Dewan Rakyat.
Johari melarang penggunaan perkataan ‘kafir’, ‘Zionis’ dan ‘Yahudi’ di Dewan Rakyat.
A
A
A

AWANG sokong sangat tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang melarang penggunaan perkataan ‘kafir’, ‘Zionis’ dan ‘Yahudi’ di Dewan Rakyat.

Mudah sangat nampaknya sesetengah ahli Parlimen kita menggunakan perkataan-perkataan tersebut.

Perbuatan ahli Parlimen Pas yang sewenang-wenangnya menggunakan perkataan kafir untuk sebuah parti politik membangkitkan pertikaman lidah.

Ada ahli Parlimen DAP yang beragama Islam.

Walaupun dia mendakwa tidak merujuk kepada sesiapa dari parti tersebut tetapi perbuatan itu tentulah menghiris hati mereka yang terkena.

Bukan baharu amalan mengkafirkan orang ini. Satu masa dahulu akibat ‘fatwa’ seorang pemimpinnya, masyarakat dan rumah tangga di Terengganu menjadi huru-hara.

Ada masjid yang mempunyai dua iman. Demikianlah kesannya apabila ada pemimpin yang menggunakan agama untuk menghalalkan cara.

Kita hidup dalam abad ke-21. Ahli Parlimen kita dah jauh berbeza dari dulu.

Artikel Berkaitan:

Patutnya adalah nilai baharu serta adab dan kesopanan baharu dalam kalangan ahli Parlimen kita.

Tapi nampaknya pi mai pi mai tang tu juga. Sesetengah ahli Parlimen masih mahu menunjukkan bahawa mereka sahaja yang Islam, yang betul, sedangkan yang lain tidak.

Peliknya dalam muktamar parti itu baru-baru ini, disebut juga perlunya mengambil hati kaum lain.

NAK KUTUK, KUTUKLAH

Awang pun setuju dengan pelakon dan pengarah Ellie Suriaty Omar yang menyatakan rasa kesal dengan tindakan penganjur perhimpunan ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka, Ahad lalu.

Beliau mengatakan bahawa matlamat perhimpunan itu sepatutnya menunjukkan solidariti menyokong rakyat Palestin di Gaza. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Malah plakad dan sepanduk anti Zionis dan anti-Benjamin Netanyahu (PM Israel) pun tak dibenarkan dalam perhimpunan itu.

Beliau menanyakan apakah motif sebenar penganjuran perhimpunan itu.

Kita semua dapat melihat kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza sekarang. Setiap hari kita dikejutkan dengan keganasan yang melampau.

Bukan sahaja rumah-rumah orang awam yang dimusnahkan tetapi juga hospital yang mengorbankan banyak nyawa wanita dan kanak-kanak.

Kita juga kesal bagaimana Amerika Syarikat (AS) dan kuasa-kuasa besar yang lain masih berpegang pada prinsip tindakan itu adalah ‘hak Israel untuk membela diri’.

Bagaimana tentang hak rakyat Palestin untuk membela diri?

Kita lebih kesal tindakan Perdana Menteri United Kingdom (UK) yang terbang ke Israel bersama pesawat yang dipercayai membawa senjata membantu Israel.

Siapakah ‘kawan’ orang Palestin sebenarnya?

Nampaknya negara mewah Arab pun berdiam diri.

Kita pula nak bersuara dan mengutuk kekejaman Israel pun tak boleh?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!