Apabila media sosial tak bersolidariti untuk Palestin
TULAR sejak beberapa hari lalu berhubung sekatan terhadap sebarang hantaran berkaitan isu konflik Israel-Palestin di media sosial.
Perkara itu disedari netizen dan pempengaruh di TikTok apabila klip video yang dikongsikan dalam aplikasi tersebut tidak mendapat jumlah tontonan tinggi seperti biasa, malah ada juga akaun mereka yang cuba digodam atau disekat.
Situasi ini menimbulkan pelbagai reaksi, persoalan dan kemarahan kebanyakan pihak untuk menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin yang sedang menderita di bumi Gaza.
Memandangkan tidak mampu menyumbangkan kudrat secara fizikal dalam menentang rejim Zionis, memuat naik kandungan menyokong saudara Islam di Palestin menggunakan media sosial juga salah satu usaha selain menyumbang wang ringgit dan barang keperluan menerusi saluran disediakan.
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) turut menerima aduan daripada pengguna aplikasi TikTok berhubung kandungan (content) yang pro-Palestin disekat daripada platform berkenaan.
Menterinya, Fahmi Fadzil menjelaskan, isu itu berbangkit apabila pengguna mendapati hantaran dihasilkan mereka yang mempunyai perkataan seperti Hamas dan beberapa perkataan lain akan diturunkan secara automatik.
Malah katanya, terdapat pengguna yang memuat naik kandungan tetapi diturunkan selepas satu minit kononnya terdapat pelanggaran pada garis panduan komuniti.
Fahmi sehubungan itu berkata, beliau sudah berhubung dengan TikTok berhubung perkara itu, bagaimanapun penjelasan diberikan pengendali aplikasi itu tidak memuaskan dan beliau akan meminta garis panduan daripada Wisma Putra tentang beberapa perkara.
Penulis juga sempat menjengah beberapa akaun TikTok pempengaruh dan mendapati mereka kini terpaksa melakukan kaedah psikologi terbalik (reverse psychology) iaitu menggunakan hashtag #visitIsrael bagi memastikan kandungan yang dimuat naik tidak diturunkan.
Selain itu, mereka turut berkongsikan kaedah bagi mengelakkan video daripada diturunkan atau disekat iaitu tidak menaip apa sahaja perkataan mengenai Palestin secara terus, sebaliknya perlu disunting menerusi aplikasi lain terlebih dahulu sebelum dimuat naik ke TikTok.
Mereka juga terpaksa melakukan kandungan lain yang tidak melibatkan konflik Israel-Palestin secara selang-seli kerana dengan kaedah ini pihak TikTok tidak akan menyekat akaun yang memuat naik isu berbeza.
Penulis juga mendapati rata-rata netizen meluahkan perasaan kecewa apabila akaun mereka disekat kerana kerap siar semula (repost) kandungan yang berkaitan perjuangan rakyat Palestin sehingga terpaksa membuat akaun kedua.
Terbaharu, akses live program #QuranHour For Gaza menerusi akaun Facebook rasmi QuranHour yang baru berlangsung selama 10 minit juga telah disekat.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, pihaknya bagaimanapun sudah menjangkakan perkara itu akan berlaku, namun bersyukur kerana mempunyai alternatif lain dengan menggunakan saluran YouTube.
Beliau menganggap ia satu cabaran dalam menyebarkan maklumat dan solidariti terhadap rakyat Palestin dan siaran langsung program itu berjaya dilaksanakan sehingga selesai.
Namun begitu, apa saja sekatan dilakukan, perkara tersebut tidak akan mematahkan semangat rakyat Malaysia untuk terus menyebarkan kisah kesengsaraan, penderitaan, kekejaman yang dilakukan rejim Zionis sehingga meragut ribuan nyawa menerusi serangan udara tanpa henti sejak 7 Oktober lalu.
Penulis juga berharap isu sekatan di media sosial dapat diselesaikan dengan segera agar semua pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan sebenar di Gaza serta terus bersolidariti bersama rakyat Palestin.
*Nuratikah Athilya Hassan ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!