Tetap jual nasi lemak RM1 walau guna beras import

Zulkifli memilih untuk kekalkan harga nasi lemak RM1 biarpun berdepan kenaikan harga barang.
Zulkifli memilih untuk kekalkan harga nasi lemak RM1 biarpun berdepan kenaikan harga barang.
A
A
A

JERANTUT - Kenaikan harga barangan asas termasuk beras tidak menghalang seorang peniaga nasi lemak terus mengekalkan harga RM1 sebungkus.

Peniaga, Zulkifli Nordin, 44, memilih mengekalkan harga jualan itu kerana mahu membantu orang ramai khususnya golongan kurang berkemampuan mendapatkan makanan kegemaran itu dengan harga murah.

"Memang sukar nak dapatkan beras tempatan di pasaran, kena guna beras import walaupun harganya agak mahal.

"Tapi saya tetap kekalkan harga biasa sejak mula menjual nasi lemak pada 2020," katanya ketika ditemui di gerainya yang terletak berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut di sini.

Menurut Zulkifli, nasi lemak bersama telur dadar dijual pada harga RM1 dianggap memadai bagi golongan berpendapatan rendah untuk sarapan selain dibeli pelajar sekolah sebagai bekalan waktu rehat.

"Saya juga ada menjual nasi lemak RM2 dengan kuantiti nasi lebih banyak berbanding RM1.

"Setakat ini, saya bersyukur kerana mendapat sambutan menggalakkan hingga pernah mencecah 200 bungkus terjual sehari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli menjual nasi lemak di gerai miliknya sejak tiga tahun lalu.
Zulkifli menjual nasi lemak di gerai miliknya sejak tiga tahun lalu.

Mengakui menerima banyak saingan, Zulkifli menyifatkan setiap orang ada kelebihan masing-masing.

"Saya jadikan sambal kampung resipi rahsia nenek sebagai tarikan, ada peminatnya. Selalunya saya mula berniaga jam 6.30 pagi dan paling cepat habis jam 7.30 manakala paling lewat jam 9 pagi.

"Untuk jualan nasi lemak ini, segalanya saya masak sendiri bermula daripada kukus nasi dan masak sambal. Isteri hanya bantu membungkus," katanya yang berniaga setiap hari kecuali Ahad.

Zulkifli berkata, selain pelanggan yang datang, nasi lemaknya kerap ditempah untuk disedekahkan kepada pusat tahfiz, sekolah dan majlis tertentu.

"Saya mula meniaga nasi lemak selepas pulang ke Jerantut sejak berhenti bekerja kilang di ibu negara ketika pandemik Covid-19 lalu.

"Syukur kerana kini ia menjadi sumber pendapatan kami sekeluarga dan masih mampu bertahan hingga kini walaupun dihimpit pelbagai kenaikan harga barangan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!