Jenazah Harun Jusoh selamat dikebumikan

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk di Kuala Terengganu sekitar jam 9.30 malam pada Selasa.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk di Kuala Terengganu sekitar jam 9.30 malam pada Selasa.
A
A
A

JENAZAH legenda bola sepak negara yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik Munich 1972, Harun Jusoh, 75, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk, Kuala Terengganu sekitar jam 9.30 malam, Selasa.

Urusan pengebumian Allahyarham dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga dan kenalan termasuk bekas jurulatih Terengganu dan pasukan kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim.

Anak Allahyarham, Firdaus Harun, 40, berkata, tahap kesihatan bapanya yang menghidap penyakit saraf dan radang sendi itu semakin merosot sejak dua minggu lalu.

Katanya, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di samping isteri, anak dan menantunya di rumah keluarganya di Lorong Haji Da di sini, kira-kira jam 4.26 petang, Selasa.

"Waktu sihat arwah gemar bercerita terutama kepada cucu-cucunya pengalaman dia mewakili negara di pentas perlawanan antarabangsa dan bergelar rakan sepasukan kepada Allahyarham Mokhtar Dahari.

"Namun selepas menghidap sakit saraf, arwah hanya terlantar di atas katil. Arwah masih boleh makan seperti biasa sehinggalah tiba-tiba demam beberapa hari lalu dan keadaannya bertambah teruk semalam (Isnin)," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.

Firdaus menunjukkan gambar kenangan bapanya ketika bergelar pemain bola sepak kebangsaan yang pernah mewakili negara dalam perlawanan di peringkat antarabangsa.
Firdaus menunjukkan gambar kenangan bapanya ketika bergelar pemain bola sepak kebangsaan yang pernah mewakili negara dalam perlawanan di peringkat antarabangsa.

Firdaus memberitahu, dia tiba dari Johor Bahru jam 3 pagi pada Selasa sebaik menerima perkembangan kesihatan bapanya itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia bersyukur kerana sempat berada di sisi Allahyarham bersama ibunya, Sharifah Azizah Syed Omar, 71, dan tiga adik-beradik yang lain.

Allahyarham Jusoh merupakan tonggak negara yang beraksi dalam Sukan Olimpik Munich 1972 bersama beberapa nama besar seperti Allahyarham Namat Abdullah, Allahyarham Ali Bakar dan mendiang M Chandran.

Allahyarham turut menyarung jersi Malaysia di Sukan Asia di Tehran, Iran pada 1974 yang meraih pingat gangsa selain membantu skuad negara mengalahkan Arsenal 2-0 pada 1975.

Penderitaan Allahyarham pernah mendapat perhatian Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim yang menziarahi arwah, Jun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!