Tiga beranak warga Rohingya aktif pecah rumah diberkas

Mazli (tengah) menunjukkan senjata tajam yang dirampas dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah pecah rumah membabitkan tiga warga Rohingya.
Mazli (tengah) menunjukkan senjata tajam yang dirampas dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah pecah rumah membabitkan tiga warga Rohingya.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menahan seorang wanita warga Rohingya bersama dua anaknya selepas disyaki terlibat dalam jenayah pecah rumah di Kampung Pengkalan Sir, Kemaman.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, suspek yang merupakan ibu tunggal berusia 33 tahun bersama dua anak gadisnya berusia 13 dan 14 tahun itu ditahan kira-kira jam 7 malam di Kampung Binjai, Kemaman pada Isnin.

Menurutnya, suspek berjaya diberkas selepas kenderaan dinaikinya hilang kawalan sebelum terbabas ke kawasan semak dan melanggar sebatang pokok ketika melarikan diri.

"Kita dapati suspek utama mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan masih berstatus 'wanted' (dikehendaki) berhubung kes pecah rumah di Johor.

"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam kes berkenaan. Suspek utama juga mengaku terlibat sebanyak lima kali dalam kes pecah rumah sejak Januari hingga Oktober tahun ini," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada petang Selasa.

Mazli berkata, pihak polis telah merampas dua buah kenderaan, barangan kemas, dua bilah senjata tajam, wang tunai serta pelbagai beg dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

Mazli (tengah) menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada suspek dianggarkan bernilai lebih RM100,000.
Mazli (tengah) menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada suspek dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

"Antara modus operandi digunakan suspek ialah menggunakan nombor plat kereta palsu dan memecah masuk rumah mangsa ketika penghuni keluar bekerja pada waktu siang.

Artikel Berkaitan:

"Suspek turut menggunakan kanak-kanak untuk menarik perhatian warga emas yang tinggal bersendirian dan dalam masa yang sama rakannya mengambil peluang memasuki rumah berkenaan untuk mencuri," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek utama mendapati wanita berkenaan positif dadah jenis methamphetamine manakala dua lagi suspek negatif.

Katanya, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana kesalahan pecah rumah.

"Dengan penahanan suspek, polis berjaya menyelesaikan enam kes pecah rumah.

"Kita percaya masih terdapat saki baki daripada kumpulan ini dan pihak polis akan terus menjalankan siasatan," katanya.