Impian Zulkepli bermotosikal ke Makkah, tunai umrah tercapai

Impian Zulkepli untuk menjejakkan kaki dan menunaikan umrah di Makkah akhirnya tercapai. - Foto FB Gombak Ke Mekah 2023
Impian Zulkepli untuk menjejakkan kaki dan menunaikan umrah di Makkah akhirnya tercapai. - Foto FB Gombak Ke Mekah 2023
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setelah mengharungi perjalanan sejauh 18,000 kilometer (km) selama 108 hari dengan menunggang motosikal Yamaha FZ150, akhirnya impian pengusaha tasbih, Zulkepli Mo’minin untuk menjejakkan kaki dan menunaikan umrah di Makkah tercapai.

Zulkepli, 55, selamat tiba di Tanah Suci Isnin lepas (23 Oktober) selepas memulakan perjalanan solo sejak 8 Julai lalu dari Gombak, Selangor dan telah merentasi 11 negara antaranya Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Iraq, Kuwait dan Arab Saudi.

Berkongsi pengalamannya dengan Bernama, Zulkepli berkata, antara peristiwa tidak dapat dilupakan ialah ketika beliau terkandas di Iran selama sebulan lebih berbanding perancangan asal 11 hari kerana masalah dokumentasi.

Beliau menghadapi kesukaran untuk memasuki Iraq di Shalamche meskipun hanya tinggal 100 km sahaja untuk sampai di Safwan iaitu sempadan Iraq-Kuwait.

"Sebelum memulakan ekspedisi ini, mengikut sedikit info yang saya dapat daripada pengembara yang pernah merentasi Iraq, jika sudah ada transit visa dan tidak bermalam di negara itu, tidak akan ada masalah, boleh rentas sahaja.

"Tapi, sebaliknya berlaku di pintu masuk Iran-Iraq, Shalamche.. pegawai Iraq tidak membenarkan saya masuk, jadi saya terpaksa berpatah balik ke bandar Khorramshahr yang jaraknya hanya 20km dari Shalamche untuk bermalam dan memikirkan jalan penyelesaian seterusnya,” katanya ketika dihubungi.

Bagi menyelesaikan masalah itu, beliau terpaksa meninggalkan motosikalnya sementara waktu dan mengambil penerbangan dari bandar Ahvaz ke Tehran yang jaraknya 900 km, bagi memohon visa secara fizikal daripada Kedutaan Iraq.

"Dipendekkan cerita, Kedutaan Iraq akhirnya meluluskan permohonan visa saya selepas 15 hari berada di Tehran...walaupun pada satu ketika saya sudah buntu dan hampir putus asa memikirkan tentang birokrasi pegawai Iraq dan mahu sahaja ambil tiket penerbangan dari Tehran ke Riyadh, Arab Saudi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bapa kepada lima anak itu berkata, beliau turut berdepan cabaran lain iaitu terpaksa melalui laluan berbatu di salah satu pergunungan di Kyrgyzstan sejauh 450 km.

"Walaupun pelbagai ujian dan kesusahan terpaksa dilalui sepanjang ekspedisi ini, saya terima sahaja kerana itu semua ketentuan ALLAH dan ujian itu adalah nikmat untuk saya rasai,” katanya.

Zulkepli akan berada di Makkah dan Madinah untuk beberapa hari lagi sebelum mengambil penerbangan pulang ke tanah air manakala motosikalnya akan dihantar dengan kargo laut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!