Harga melonjak RM300 segram, ramai jual emas
IPOH - Belian semula emas di Kedai Emas Rozita dekat sini mencecah RM1 juta dalam tempoh dua minggu berikutan harga emas melonjak tinggi melebihi RM300 per gram.
Wakil Jualan Emas Rozita, Fikri Marzuki berkata, jumlah itu melibatkan lebih 1,000 pelanggan membabitkan pelbagai urus niaga termasuklah penjualan emas terpakai, jongkong dan tukar beli barang kemas.
Menurutnya, sebahagian besar mereka mengambil kesempatan dengan menjual semula emas bagi mendapatkan keuntungan lebih tinggi.
"Memang ramai, dalam sehari tidak kurang 50 pelanggan datang, bukan untuk membeli tetapi untuk menjual emas dan jumlah ini meningkat sekali ganda pada hujung minggu.
"Senario ini berlaku sejak dua minggu lalu atas faktor harga emas tinggi, jadi mereka menjual semula aset dimiliki bagi mendapatkan nilai tunai untuk pelbagai kegunaan termasuk sebagai simpanan," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, mereka memahami keperluan masyarakat ketika ini dan menyokongnya dengan penawaran bidaan tertinggi pembelian emas pada kadar RM255 per gram berbanding RM240 hari biasa.
Katanya, premis itu juga menawarkan harga susut nilai yang tinggi iaitu tujuh peratus berbanding 10 ke 12 peratus di pasaran bagi memberi lebih nilai kepada pelanggan.
"Trend orang ramai menjual semula emas tidak akan menjejaskan perniagaan kerana masih berlaku keseimbangan antara pembelian dengan penjualan.
"Tambahan pula nilai emas lama dan baru adalah sama, menguntungkan dan munasabah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!