JKNS rampas vaksin tifoid tidak berdaftar berjumlah RM12,000
SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas vaksin tifoid tidak berdaftar bernilai RM12,000 selepas menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap lima klinik perubatan swasta di negeri ini pada 18 Oktober lalu.
Pengarahnya, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, serbuan dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) JKN Selangor selepas menerima aduan orang ramai.
Menurutnya, hasil pemeriksaan itu mendapati lima klinik perubatan swasta menggunakan vaksin tifoid tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia (PBKD KKM).
"lndividu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman bawah Akta Jualan Dadah 1952 iaitu denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.
"Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 di bawah akta sama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dr Sha'ari berkata, suntikan vaksin tifoid digunakan untuk mencegah penyakit demam kepialu bertujuan merangsang sistem imunisasi badan untuk menghasilkan antibodi bagi melawan jangkitan bakteria 'Salmonella typhi'.
"Keluaran vaksin yang tidak berdaftar dengan PBKD KKM tidak terjamin dari segi keberkesanan, keselamatan dan kualitinya," tegas beliau.
Beliau memberitahu, CPF JKNS telah merampas vaksin tifoid tidak berdaftar bernilai melebihi RM56,000 dalam tempoh 2021 hingga tahun ini.
Sehubungan itu katanya, JKNS menasihatkan orang ramai membeli dan menggunakan ubat- ubatan dan produk kesihatan berdaftar dengan PBKD KKM bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan terjamin.
Selain itu katanya, orang ramai juga digalakkan mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan ubat-ubatan dan produk kesihatan tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.
Aduan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.
Saluran juga boleh dibuat melalui CPF berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!