TNB gantung kerja kakitangan hina Agong
KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggantung kerja serta-merta kakitangannya yang mengeluarkan kenyataan menghina bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, baru-baru ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan syarikat berkenaan, TNB memaklumkan tindakan tersebut diambil selepas siasatan dalaman dilakukan syarikat berkenaan.
“Siasatan dalaman telahpun berjalan dan pekerja terlibat telah digantung tugas dengan serta merta.
“Kami ingin menegaskan, kenyataan tersebut adalah pendapat individu itu sendiri dan bercanggah dengan prinsip-prinsip TNB,” memetik kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, TNB meluahkan kekesalan berhubung status berkenaan dan memandang serius isu tersebut.
“Sebagai syarikat yang mengutamakan nilai-nilai murni dan integriti tinggi, kami tidak berkompromi terhadap mana-mana kakitangan kami yang membuat kenyataan sebegini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!