Utamakan tenaga kerja tempatan di taman tema
Troopers Innovation gesa pertimbang semula pengambilan 2,000 pekerja asing di taman tema
SHAH ALAM - Susulan pengumuman kerajaan baru-baru ini yang memberi kebenaran kepada taman tema bagi pengambilan tambahan seramai 2,000 pekerja asing, Troopers Innovation Sdn Bhd menyuarakan kebimbangan berhubung arahan itu kerana dikhuatiri akan mengurangkan potensi sedia ada tenaga kerja tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Troopers Innovation, Joshua Tan, mahu mendapatkan penjelasan mengenai peranan tertentu bagi jawatan baharu berkenaan, sekali gus mempersoalkan sama ada ia membabitkan petugas barisan hadapan, kru perkhidmatan atau kakitangan penyelenggaraan, serta pada masa sama mengetengahkan ketersediaan individu tempatan yang berkelayakan.
“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, baru-baru ini menyatakan terdapat percanggahan antara jangkaan keperluan buruh dan bilangan sebenar pekerja asing yang bekerja di sektor utama memandangkan terdapat lebihan yang menjangkau lebih daripada 250,000 pekerja asing dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
“Ketidakseimbangan semasa dalam sektor pekerjaan yang memihak kepada pekerja asing, secara langsung mencetuskan cabaran kepada prospek pekerjaan rakyat Malaysia. Justeru, ia sesuatu yang penting untuk menilai semula pendekatan kita terhadap perancangan tenaga kerja dan mengutamakan peluang dalam kalangan bakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam konteks suasana ekonomi semasa, beliau menyarankan tumpuan kepada usaha memanfaatkan tenaga kerja tempatan bagi memastikan kestabilan ekonomi dan jaminan pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
“Kita mencadangkan sekiranya terdapat keperluan mendesak untuk bilangan tenaga kerja yang besar, usaha penglibatan haruslah terlebih dahulu mempertimbangkan individu tempatan yang bersedia untuk merebut peluang sedemikian.
"Sekiranya terdapat permintaan untuk penambahan tenaga kerja dengan segera, jalan pertama kita seharusnya memulakan strategi penglibatan yang memberi keutamaan kepada individu rakyat Malaysia yang sudah bersedia dan berminat untuk mengambil peluang ini, berbanding menambah bilangan buruh asing," katanya.
Dalam menangani keperluan ini, Troopers Innovation menawarkan penyelesaian praktikal menerusi platform canggih kendaliannya. Aplikasi berkenaan direka untuk menghubungkan majikan dengan sekelompok besar bakat tempatan secara cekap.
Joshua berkata, pendekatan itu bukan sahaja mempercepatkan proses pengambilan pekerja tetapi juga memastikan jawatan dipenuhi oleh rakyat Malaysia yang berkemahiran sekali gus memberikan tindak balas secara proaktif kepada permintaan tenaga buruh segera dalam pelbagai industri.
“Saya percaya pada potensi kolektif rakyat Malaysia dan sekiranya kita bekerjasama, kita mampu untuk meningkatkan bakat Malaysia dalam semua sektor menerusi latihan yang tepat dan peningkatan kemahiran bagi memastikan mereka diberi imbuhan yang sewajarnya dan syarikat pula memperoleh nilai yang mereka laburkan,” katanya.
Sejak penubuhannya pada tahun 2017, Troopers Innovation bertapak sebagai sempadan digital dalam ekosistem ekonomi gig dengan menyediakan penyelesaian yang diperkemas untuk pengambilan pekerja, pemadanan pekerjaan dan prosedur penggajian.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.troopers.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!