6 hospital di Gaza terpaksa ditutup akibat kekurangan bahan api
GAZA - Sekurang-kurangnya enam buah hospital di Gaza terpaksa ditutup akibat kekurangan bahan api, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa.
Jumlah ini merupakan tambahan kepada hospital-hospital yang terpaksa ditutup kerana rosak akibat serangan udara, kata WHO dalam kenyataan yang dikeluarkan.
"Melainkan bahan api penting dan bekalan kesihatan tambahan segera dihantar ke Gaza, ribuan pesakit rentan berisiko kematian atau berhadapan komplikasi apabila perkhidmatan kritikal ditutup akibat kekurangan bekalan kuasa," kata WHO lagi.
Terdapat sejumlah pesakit rentan termasuk sekitar 1,000 orang bergantung kepada dialisis dan sekurang-kurangnya 130 bayi pramatang, kata organisasi itu dalam kenyataannya.
Sementara pesakit lain yang sedang menjalai rawatan intensif serta mereka yang perlu dibedah juga "bergantung kepada bekalan elektrik yang stabil dan tidak terputus untuk terus hidup," tambah WHO.
Dalam masa sama, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) juga menekankan keperluan segera bagi bekalan bahan api dibenarkan masuk ke Gaza dan menyokong WHO dalam menyeru gencatan senjata segera.
"Bahan bakar sangat penting untuk operasi kemudahan asas seperti hospital, loji penyahgaraman dan pam air," kata UNICEF dalam kenyataannya.
"Unit penjagaan intensif neonatal menempatkan lebih dari 100 bayi baru lahir, sesetengah daripada mereka dalam inkubator dan bergantung kepada pengudaraan mekanikal, menjadikan bekalan kuasa yang tidak terputus satu perkara tentang hidup dan mati," tambahnya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!