PM perlu nyatakan bentuk ugutan, tekanan diterima - Ahmad Fadhli
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyatakan bentuk ugutan dan tekanan yang diterima ekoran pendirian Malaysia dalam isu konflik Palestin-Israel.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, jika ugutan tersebut berbentuk ancaman, maka pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan khidmat risikan perlu tingkatkan kawalan keselamatan kepada Perdana Menteri.
“Kita tidak mahu Perdana Menteri yang kita sayang ini diugut dan ditekan kerana isu Palestin.
“Sebab itulah saya fikir Perdana Menteri perlu nyatakan apa ugutan dan tekanan itu.
Jika ugutan yang dimaksudkan itu ialah ugutan keselamatan, tindakan segera kerajaan khususnya pihak keselamatan sangatlah dituntut,” katanya dalam siaran di Facebook pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN:Pertahan Palestin, Anwar dedah terima ugutan negara luar
ARTIKEL BERKAITAN:PM keliling negara Arab nyatakan pendirian tegas mengenai Palestin
Pada Selasa, Anwar dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin pada Selasa menegaskan Malaysia tidak tunduk dengan ugutan-ugutan dari negara-negara besar yang membela hak Israel.
Ujar beliau, umat Islam perlu bangkit dan bersatu padu untuk mempertahankan hak bumi Palestin daripada terus dijajah rejim Zionis.
ARTIKEL BERKAITAN:Kandungan mengenai Palestin disekat: KKD temu TikTok Khamis ini
ARTIKEL BERKAITAN:Malaysia turut serta dalam UNGA, bincang isu Palestin Khamis ini
Dalam pada itu, menurut Ahmad Fadhli, sekiranya tiada tindakan serius dalam menangani isu tersebut, ia seolah-olah mencerminkan bahawa pihak keselamatan sendiri tidak percaya dengan ugutan berkenaan.
“Tidak dijelaskan apakah tekanan dan ugutan itu, apa yang penting jika tekanan itu dalam bentuk ekonomi, ia agak mendukacitakan.
“Ia kerana dalam keadaan Perdana Menteri sebelum ini pernah mengusulkan agar dirujuk perbuatan ganas rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun kita tidak dengar tentang ugutan ini, tiba-tiba hari ini ada pihak yang berani mengugut Perdana Menteri kita,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!