Amaran terhadap polis sekongkol dengan sindiket, bocorkan maklumat

A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din memberi amaran terhadap pegawainya yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah.

Mohd Kamarudin berkata, beliau dimaklumkan terdapat beberapa operasi JSJN gagal dilaksanakan kerana terdapat kebocoran maklumat.

"Seandainya ada dalam kalangan kita tidak berintegriti, maka kita gagal dalam melaksanakan apa yang telah diamanahkan.

"Jabatan ini juga tidak memerlukan pegawai dan anggota yang tidak mempunyai integriti," katanya ketika dipetik menerusi rakaman video di Facebook rasmi JSJN pada Selasa.

Mohd Kamarudin memberi ucapan amanat dalam perhimpunan bulanan JSJN di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Beliau berkata, warga JSJN diingatkan supaya tidak tergelincir dari landasan dalam melaksanakan amanah besar yang dipertanggungjawabkan oleh ALLAH SWT.

"Jangan dengan sedikit imbuhan, kita sanggup menjual maruah diri dan pasukan kepada penjenayah," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, aspek penyeliaan iaitu warga JSJN perlu mematuhi arahan Ketua Polis Negara berkaitan 'Total Enforcement" ke atas Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Artikel Berkaitan:

"Semua penyelia hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam menyelia anggota bawahan supaya tidak terlibat dalam sebarang salah laku," katanya.

Mengulas lanjut Kamarudin berkata, seramai 135,986 orang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes jenayah narkotik sejak Januari hingga September lalu.

"Statistik ini menunjukan peningkatan sebanyak 8 peratus, berbanding seramai 126,463 orang ditahan dalam tempoh sama pada tahun lalu.

"Anggota dan pegawai JSJN menunjukan komitmen dan semangat sangat tinggi dalam memerangai sindiket pengedaran dadah, meskipun berdepan pelbagai cabaran," katanya.

Beliau berkata, rampasan dan tangkapan berkaitan kes dadah yang dilakukan JSJN menunjukan peningkatan setiap tahun.

"Ia merupakan kejayaan operasi JSJN, namun dari sudut lain aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah ini tetap membarah di dalam negara," katanya.

Kamarudin berkata, Malaysia bukan negara pengeluar dadah, tetapi disebabkan kedudukan geografi negara yang hampir dengan 'segitiga emas' menyebabkan penyeludupan dadah dari negara jiran.

"Saya menyeru warga JSJN bersatu hati dan tenaga untuk melumpuhkan aktiviti penyeludupan serta pengedaran dadah dalam negara," katanya.

Dalam majlis itu, Mohd Kamarudin menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Negara serta Sijil Pengarah JSJN kepada 35 orang warga JSJN yang telah mempamerkan prestasi kerja yang cemerlang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!