Insiden kapal Mavi Marmara pemangkin terus perjuangkan hak Palestin
KUALA LUMPUR - Insiden suami menjadi tawanan tentera Israel dalam tragedi kapal Mavi Marmara pada 31 Mei 2010 menjadi pemangkin untuk terus memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Datin Sharifah Mahiza Syed Abd Kadir berkata, peristiwa tersebut memberikan impak besar kepada beliau apabila dapat merasai penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel.
Menurut Sharifah Mahiza, suaminya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus yang juga Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) merupakan antara 12 rakyat Malaysia yang berada di atas kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.
"Mereka kemudian ditahan tentera Israel dan masuk penjara sekejap lebih kurang sehari.
“Antara yang ditahan termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua.
"Mereka cuma bawa makanan untuk tunjukkan ini bukan kapal perang tetapi tetap juga dihalang masuk ke perairan.
“Walaupun suami ditahan dalam tempoh 24 jam sahaja tetapi cukup buatkan saya risau dan tidak senang duduk.
"Seramai sembilan orang juga yang syahid ditembak Israel di kepala. Sudah 13 tahun tetapi masih diingat sampai sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyertai Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil di sini pada Selasa.
Sinar Harian pada 17 Julai 2021 melaporkan, kapal Mavi Marmara merupakan salah satu daripada konvoi beberapa kapal yang membawa kira-kira 700 sukarelawan dari 40 negara bagi menghantar bantuan kemanusiaan kepada Palestin.
Kapal itu meninggalkan Pelabuhan Antalya, Turki menuju ke titik pertemuan semua kapal konvoi di perairan antarabangsa di selatan Pulau Cyprus pada 28 Mei 2010.
Tambah Syarifah Mahiza, selepas peristiwa tersebut, banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang turut melaksanakan misi kemanusiaan termasuk dirinya.
“Selepas mereka kembali, saya pula masuk (Gaza) pada 2012 bersama suami dan anggota misi.
"Dapat lihat suasana sayu di sana tetapi selepas dua minggu keluar, Israel mula menyerang.
“Agak kecewa kerana kami dirikan kilang roti di sana tetapi dibom Israel di mana ia adalah pusat mereka mendapatkan bekalan makanan.
“Selepas kejadian ini, banyak NGO yang turut melaksanakan misi sama dan saya juga harap orang ramai berikan dana pada saluran yang betul serta sah kerana mereka sangat perlukan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!