Proses tapisan keselamatan permohonan warganegara kini hanya 14 hari - Saifuddin

Saifuddin Nasution (kanan) bercakap kepada pemberita selepas majlis Sambutan Jubli Intan JPN pada Rabu. - Foto Bernama
Saifuddin Nasution (kanan) bercakap kepada pemberita selepas majlis Sambutan Jubli Intan JPN pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tempoh pemprosesan tapisan keselamatan bagi permohonan kewarganegaraan dikurangkan daripada 73 hari kepada 14 hari menerusi Sistem Tapisan Keselamatan Warganegara yang dilancarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada Rabu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses berkenaan akan dijalankan secara lebih cekap menerusi pelaksanaan sistem itu yang dibangunkan JPN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Jika sebelum ini dokumen permohonan kewarganegaraan yang diterima JPN akan diserahkan kepada pihak polis secara fizikal (bercetak), tetapi dengan adanya sistem ini penyerahan dokumen adalah secara dalam talian," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Jubli Intan JPN ke-75, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, sistem itu secara automatik akan menolak permohonan yang didapati pemohonnya terlibat dengan pertubuhan dianggap berbahaya dan mengancam ketenteraman awam, selain tinggal di negara ini melebihi masa ditetapkan.

Selain itu, Saifuddin Nasution berkata, kabinet akan memuktamadkan penubuhan sebuah agensi tunggal bagi mengawal selia sempadan negara atau single border agency dalam masa terdekat.

"Keputusan siapa yang akan terlibat di dalam single border agency itu akan dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kabinet dalam masa terdekat.

"Keselamatan dan kawalan sempadan negara di mana-mana negara di dunia ini merupakan aspek penting dan agensi keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) antara paling banyak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta warga KDN supaya bersiap sedia sekiranya kementerian dan agensi di bawahnya dipertanggungjawabkan terhadap penubuhan agensi itu.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini terdapat lebih 20 agensi terbabit dalam mengawal selia sempadan negara termasuk Jabatan Imigresen (Imigresen), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!