Wanita China saman hospital enggan benar beku sel telur
BEIJING - Seorang wanita bujang dari China memfailkan saman terhadap sebuah hospital Beijing kerana menolak permintaannya menjalani prosedur membekukan sel telur berikutan status perkahwinannya.
Menurut undang-undang China berkaitan teknologi reproduktif, hanya pasangan berkahwin boleh menggunakan perkhidmatan kesihatan tersebut dan mereka harus mengemukakan sijil perkahwinan sebagai bukti.
Pada bulan November 2018, Teresa Xu, 31, hadir ke Hospital Obstetrik dan Ginekologi Beijing di Universiti Capital Medical dengan hasrat membekukan sel telurnya agar dapat fokus dengan karier sebagai penulis.
Xu dari wilayah Heilongjiang berkata, ketika kunjungan pertama untuk pemeriksaan di hospital terbabit, doktor menanyakan status perkahwinannya dan menggesanya segera melahirkan anak dan tidak membekukan sel telurnya.
Namun ketika kunjungan kali kedua doktor memberitahu Xu tidak lagi boleh meneruskan prosedur berkenaan.
"Saya datang untuk mendapatkan servis profesional namun saya digesa mengenepikan kerjaya dan melahirkan anak terlebih dahulu," kata Xu sambil menambah kesnya dijangka berlanjutan selama beberapa bulan.
Sementara itu, Reuters yang menghubungi pihak hospital berhubung kes tersebut gagal mendapatkan komen lanjut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!