Beg tangan kena rembat di masjid
KUALA NERUS - Seorang peniaga kerugian hampir RM3,000 apabila beg tangannya dicuri sewaktu menunaikan solat Subuh di Masjid Seberang Takir, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa yang berusia 46 tahun bukan sahaja kehilangan telefon bimbit, malah gelang emas dan pelbagai dokumen penting dalam beg berkenaan turut dilarikan.
Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa meletakkan beg tangannya di sebelah tempat dia solat.
“Ketika mangsa sedang solat berjemaah, dia ada terdengar bunyi kerusi terjatuh di belakang, tapi dia tidak mengendahkannya.
“Mangsa hanya menyedari beg tangannya hilang apabila ada jemaah bertanyakannya sebaik selesai menunaikan solat. Dia mengesyaki beg tangannya dilarikan pencuri ketika jemaah sedang sujud semasa menunaikan solat,” katanya.
Mangsa yang berasal dari Perak kemudiannya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!