Lelaki didenda RM3,000 ceroboh tanah orang

Seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh tanah milik individu lain di Rembau, bulan lalu. - Gambar hiasan
Seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh tanah milik individu lain di Rembau, bulan lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh tanah milik individu lain di Rembau, bulan lalu.

Tertuduh, B Karnan, 44, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Mahkamah turut menetapkan empat bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tanah milik seorang lelaki berusia 40 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah lot Kampung Semin, Rembau jam lebih kurang 11.30 pagi pada 27 September lepas.

Sehubungan itu tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, berdasarkan fakta kes, pemilik tanah berkenaan membuat laporan polis selepas mendapati tanah miliknya diceroboh pihak tidak dikenali.

Pokok getah dan pokok kayu hutan bersaiz besar di tanah berkenaan ditebang tanpa pengetahuan pengadu sebelum hasilnya turut diambil pihak berkenaan bagi tujuan menjual semula pokok kayu yang telah ditebang.

Hasil siasatan dan laporan juruukur yang dilantik jelas menunjukkan kawasan milik pengadu diceroboh masuk dan bukannya lot lain sepertimana yang ditunjukkan dalam pelan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!