'Terima kasih abang motosikal'
SEBERANG PERAI - Usaha murni dua penunggang motosikal menolak sebuah kereta Perodua Alza yang rosak menggunakan kudrat dua kakinya mendapat pujian netizen.
Foto tular di laman sosial dipercayai berlaku di atas jambatan dari arah Seberang Perai ke Pulau Pinang.
Memetik Facebook Penang Kini, meskipun keadaan cuaca panas namun mereka tetap menghulurkan bantuan malah terpaksa berdepan risiko agak berbahaya.
Pemilik kereta dikenali Iruwan Basri, memberitahu 'oil sump' keretanya pecah hingga terpaksa ditolak.
Bagaimanapun selepas itu, keretanya telah menaiki trak tunda.
Perkongsian itu menarik perhatian netizen dan mendoakan kesejahteraan mereka kerana sudi membantu insan yang ditimpa musibah.
Beñšoñ XueYi berkata, "Memang tabik la dengan abang-abang motosikal ni, pernah juga tolak member ketika motosikal dia rosak, itu pun kaki dah lenguh, ini pula tolak kereta. Apa pun jasa abang motosikal ini dikenang."
Menyifatkan tindakan kedua lelaki itu adalah tindakan bijak, kata Ahmad Sulaiman, mereka juga telah memudahkan urusan pengguna jalan raya kerana melancarkan aliran trafik.
"Kalau tak tolak dulu tentu jam teruk ni, dari dua lorong menjadi satu lorong. Polis bantuan tidak boleh berbuat apa-apa selain ikut dari belakang elak sesak berpanjangan."
Muhamad Naim juga menjelaskan, "Motosikal ni tolong tolak kereta ni sampai tempat yang selamat sementara tunggu trak tunda datang untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Benda boleh fikirkan, tak habis-habis nak kecam tanpa usul periksa.
"Kalau tak tolak nanti sesak atas jambatan tu, dia orang tolak sampai tempat yang selamat. Semoga dipermudahkan segala urusan tuan kereta, ada 2 biji kereta kena tu, Alza dan Persona. Terima kasih abang motosikal, anda memang terbaik." katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!