MAIDAM galak salur derma Palestin melalui masjid
KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menggalakkan orang ramai menyalurkan derma kepada penduduk Palestin melalui tabung yang disediakan di setiap masjid di seluruh negeri.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ia sebagai langkah bagi mengelak kutipan itu disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab serta tidak disalurkan kepada penduduk di negara sedang bergolak itu.
Jelas beliau, MAIDAM telah mengarahkan masjid di seluruh negeri memulakan kutipan tabung untuk didermakan kepada Palestin sejak minggu lepas.
"Para penderma tidak perlu bimbang kerana kesemua hasil kutipan yang disumbang akan diserahkan sepenuhnya (tanpa apa-apa potongan) kepada kedutaan Palestin di negara ini.
"Ia kerana wang derma yang disalurkan melalui masjid ini perlu melalui pejabat agama atau MAIDAM dimana kita akan kumpul dan hantar sendiri kepada pihak kedutaan atau kerajaan Malaysia.
"Jadi mereka yang menderma melalui masjid ini insya-ALLAH akan 100 peratus dihantar ke sana (Palestin)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Insentif Pakej Umrah bagi peserta tilawah, Hafazan al-Quran, azan dan kuiz saudara kita di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Shaikh Harun berkata, menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk peka terhadap tragedi yang menimpa umat Islam di Palestin dan tidak hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan sebarang tindakan.
"Umat Islam digalakkan menderma sekadar termampu sebagai ikhtiar kita untuk membela umat Islam di sana.
"Menjadi tanggungjawab kita untuk bantu rakyat Palestin yang kini berdepan cengkaman dan kezaliman rejim zionis," katanya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip derma untuk rakyat Palestin.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan yang tertumpu kepada transaksi keluar masuk wang dan perbelanjaan itu dijalankan susulan dakwaan pelbagai pihak yang mempersoalkan bagaimana wang derma tersebut dibelanjakan oleh NGO berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!