PM Iceland akan sertai mogok tuntut kesamarataan jantina

Katrin Jakobsdottir - Foto AFP
Katrin Jakobsdottir - Foto AFP
A
A
A

REYKJAVIK - Wanita di seluruh Iceland pada Selasa melancarkan mogok menuntut kesamarataan jantina, protes pertama seumpamanya dalam tempoh hampir setengah abad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Mogok yang disertai puluhan ribu wanita di bandar raya Reykjavik itu menyebabkan gangguan terhadap rutin harian manakala tadika, sekolah, bank dan institusi lain terpaksa ditutup.

Perdana Menteri Katrin Jakobsdottir, 47, berkata, beliau juga akan menyertai mogok berkenaan.

Perjuangan menuntut kesamarataan jantina terlalu perlahan, kata Perdana Menteri dalam temu bual dengan stesen radio RUV.

"Walaupun situasi di Iceland adalah baik, kita belum mencapai kesaksamaan sepenuhnya,” kata Jakobsdottir.

Jakobsdottir adalah wanita kedua Iceland yang memegang jawatan Perdana Menteri.

Laporan Jurang Gender Global terkini yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia mendapati kesamarataan jantina telah berkembang pesat di Iceland berbanding negara-negara lain.

Iceland berada pada kedudukan teratas selama 14 tahun dan satu-satunya negara yang mencatatkan 90 peratus kadar pelaksanaan. - Bernama-dpa

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!