Negeri Sembilan tidak laksana larangan parkir depan rumah
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan tidak berhasrat mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan penguatkuasaan larangan meletak kenderaan di hadapan rumah seperti mana yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, bagaimanapun tindakan boleh diambil sekiranya ada aduan kenderaan yang diparkir telah menghalang lalu lintas.
"Biasanya setiap rumah hanya mampu memuatkan dua kereta sahaja di ruang parkir rumah mereka yang menyebabkan kereta lain perlu diletakkan di luar.
"Keadaan itu memang tidak dapat dielakkan. Tetapi yang selalu jadi masalah bila ada tidak bertanggungjawab, parkir kereta sehingga menyusahkan jiran lain yang boleh menyebabkan pergaduhan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, buat masa ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan perkara itu melainkan ketidakpuasan hati penduduk berhubung pengusaha bengkel kenderaan yang meletakkan kereta pelanggan berhampiran rumah mereka.
Ujarnya, PBT boleh mengenakan kompaun atas kesalahan menghalang lalu lintas.
Sebelum ini, media melaporkan MBPG menguatkuasakan larangan meletak kenderaan di hadapan rumah bermula 1 Januari depan.
Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, perkara itu sudah diputuskan menerusi mesyuarat khas MBPG.
Pada 4 Oktober lalu, tular satu notis pemberitahuan daripada MBPG yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah (luar pagar) yang boleh menyebabkan halangan di tempat awam.
Penguatkuasaan itu akan dilaksana secara berfasa bertujuan menjaga keharmonian masyarakat kerana MBPG menerima 349 aduan kenderaan menghalang laluan depan rumah dari awal tahun sehingga bulan lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!