Penduduk sesak nafas terhidu gas ammonia

Pihak polis turut mengawasi pangsapuri yang berhampiran dengan kawasan perindustrian Ara Damansara, di sini, pada Selasa.
Pihak polis turut mengawasi pangsapuri yang berhampiran dengan kawasan perindustrian Ara Damansara, di sini, pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Penduduk Apartmen Seri Meranti mengadu sesak nafas dipercayai akibat terhidu kebocoran gas ammonia di sebuah kilang ais di sebuah kilang memproses ais di kawasan perindustrian Ara Damansara, di sini, pada Selasa.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Zainal Abidin berkata, ketika kejadian pada jam 10.30 malam itu, dia berada di pejabat Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri itu.

"Pada mulanya, saya ingatkan gas pendingin hawa bocor, saya pun tutuplah namun bau itu masih ada dan semakin kuat, saya kemudian periksa kompresor di luar, namun tidak ada bau mencurigakan.

"Pada masa sama, saya lihat ramai penghuni keluar dan turun dari kediaman mereka sampai ada yang mengadu sesak nafas," katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.

Bau gas ammonia berkenaan berlaku akibat kebocoran gas dari sebuah kilang memproses ais di kawasan perindustrian yang terletak dalam jarak kira-kira 100 meter dari apartmen berkenaan.

Zainal berkata, kesan daripada bau berkenaan, dia dan penduduk mula memakai pelitup muka dan berkumpul di kawasan lapang.

"Ada penduduk yang kerja di makmal maklumkan bahawa bau berkenaan adalah bau gas ammonia sebelum saya bertindak menghubungi bomba dan penduduk lain memaklumkan kejadian itu kepada polis.

"Sebaik bomba tiba pada jam 10.40 malam, mereka menyarankan kepada penduduk supaya meninggalkan kawasan berkenaan selepas dirasakan tidak selamat terutamanya yang mengalami penyakit asma dan pernafasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kebanyakan penduduk tidak beredar sebaliknya berkumpul sebelum kembali ke kediaman masing-masing sekitar jam 1 pagi.

Namun sehingga jam 8 pagi tadi, Zainal yang mendiami pangsapuri itu sejak 12 tahun lalu berkata, bau berkenaan semakin kurang dan penduduk meneruskan aktiviti harian mereka seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Seorang lagi penduduk yang hanya dikenali sebagai Kumaran, 58, berkata, semasa kejadian dia berada di luar sebelum kembali ke pangsapuri pada jam 12 tengah malam.

"Apabila saya pulang, saya lihat ramai penduduk berkumpul di bawah kediaman sebelum isteri saya memberitahu ada bau ammonia disebabkan kebocoran gas di salah sebuah kilang berhampiran.

"Kami ada diminta untuk keluar meninggalkan kediaman, namun ke mana ingin kami tuju?," katanya.

Kumaran turut meminta pihak berkuasa supaya dapat menyelesaikan segera masalah kebocoran gas itu supaya penduduk boleh kembali meneruskan kehidupan seperti biasa.

Tinjauan Sinar Harian di pangsapuri itu mendapati pihak polis turut mengawasi pangsapuri berkenaan disebabkan terdapat beberapa laluan pejalan kaki menuju ke kawasan perindustrian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!