Wooi Yik cedera, beregu lelaki tarik diri Terbuka Perancis
BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menarik diri sebelum memasuki gelanggang pada pusingan pertama Terbuka Perancis 2023 sebentar tadi.
Penarikan diri itu ekoran kecederaan paha yang dialami oleh Wooi Yik.
Keputusan itu menyaksikan lawan mereka dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin meraih kemenangan percuma sekali gus melangkah ke pusingan kedua untuk bertemu beregu China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada Khamis.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky, pada Selasa Wooi Yik mengadu kepadanya bahawa dia berasa sakit di bahagian paha dan mungkin tidak mampu meneruskan kejohanan tersebut.
“Semalam (Selasa) selepas latihan Wooi Yik cakap sakit pada bahagian paha yang sebenarnya sudah dirasai semasa aksi separuh akhir Terbuka Denmark.
“Namun Wooi Yik cuba paksa (beraksi) sampai final dan muncul juara. Selepas itu kita buat satu perjalanan yang cukup penat dari Copenhagen ke Paris dan kemudian ke Nantes sebelum naik train ke Rennes.
“Selepas latihan kita ada berbincang bersama Wooi Yik serta Aaron untuk tengok perkembangan sehingga hari ini (Rabu). Pagi ini Wooi Yik buat keputusan tak payah main takut kecederaan bertambah teruk,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Minggu lalu, pemenang pingat gangsa pada Sukan Asia Hangzhou 2022 itu menamatkan kemarau gelaran dalam Siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Terbuka Denmark selepas mula digandingkan pada 2017.
Pemenang Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo itu menewaskan pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-13, 21-17 pada pentas final yang berlangsung di Arena Jyske Bank, Odense.
Rexy menjelaskan, berdasarkan laporan daripada fisioterapi bahawa kecederaan yang dialami oleh Wooi Yik tidak serius, namun sekiranya dipaksa untuk bermain ia boleh mengundang situasi yang lebih teruk.
“Kalu dipaksa (bermain) menyertai kejohanan, tempoh dua minggu untuk pulih tak cukup. Jadi kita serahkan kepada Wooi Yik buat keputusan dan memilih untuk tidak bermain. Bagi peluang untuk proses pemulihan,” katanya.
Dalam pada itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu hantaran menerusi Facebook mengesahkan perkara berkenaan selain berharap beregu ketiga dunia itu dapat kembali tampil dengan lebih segar selepas ini.
“Aaron Chia-Soh Wooi Yik menarik diri dari Terbuka Perancis 2023. Kami menantikan kemunculan semula mereka dengan lebih segar dan bertenaga,” catat BAM melalui laman sosial tersebut.
Selepas ini, Aaron Chia-Wooi Yik dijadual menyertai Masters Jepun dari 14 hingga 19 November dan bakal bertemu lawan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin pada pusingan pertama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!